Azizulhasni bersyukur, bangga jadi atlet kelahiran Terengganu

Mohd Azizulhasni Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Saya amatlah bersyukur dan berbangga menjadi salah seorang atlet kelahiran Negeri Terengganu. Ganu Hanelang,” ujar jaguh berbasikal trek negara, Dato’ Mohd Azizulhasni Awang.

Katanya, kejayaan merangkul pingat perak di Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini merupakan kejayaan terbesar dalam kariernya sebagai seorang atlet negara.

“Saya percaya ianya juga adalah sejarah baru buat arena sukan negara,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau, semalam.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau amat berterima kasih kepada pihak Kementerian Belia dan Sukan Negara terutamanya menterinya, Dato’ Seri Reezal Merican, seluruh warga Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara yang sentiasa memberikan sokongan penuh di dalam perjalanan kariernya.

Tambahnya, terima kasih juga kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria serta seluruh warga MOM dan juga Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang membantu melancarkan segala urusan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo.

Azizulhasni turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penaja-penaja yang menghidupkan karier lumba basikal profesional beliau terutamanya penaja utama iaitu CIMB.

Menurutnya, CIMB memberikan kepercayaan penuh akan kebolehannya dan mereka komited memberikan sokongan bermula pada 2017 sehingga sekarang.

Begitu juga, katanya dengan penaja seterusnya iaitu Daikin dan AirAsia.

“Mereka juga amat komited berdiri teguh di belakang saya. Tidak lupa juga penaja berikutnya iaitu Wattbike, Oakley dan juga OGK Kabuto yang sentiasa bersama ketika jatuh dan bangun saya,” ujarnya lagi.

Tambahnya, ucapan terima kasih juga kepada seluruh warga Kerajaan Negeri Terengganu khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang sentiasa mengambil berat perihal berkenaan dengan beliau dan amat cakna dengan karier lumba basikalnya, begitu juga dengan atlet-atlet negeri Terengganu.

“Terima kasih kerana turut membantu di dalam melincirkan persiapan saya ke temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini,” kata anak kelahiran Dungun itu. – HARAKAHDAILY 11/8/2021

- Advertisement -