Pengumuman kerajaan galak makin ramai daftar vaksinasi

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Keputusan kerajaan melonggarkan individu yang menerima dua dos vaksinasi lengkap disambut baik oleh semua pihak terutamanya pasangan suami isteri jarak jauh.

Seorang peniaga Husna Hashim, 35 berkata, peraturan baru itu secara tidak langsung memberi galakan kepada orang ramai untuk menerima vaksin.

“Alhamdulillah, kelonggaran ini disambut baik terutama pasangan jarak jauh yang sebelum ini tidak dapat berjumpa, malah ibu bapa juga dapat berjumpa dengan anak-anak yang sebelum ini terpisah.

- Advertisement -

“Sebenarnya ia memberi galakan kepada orang lain untuk terus mendaftar program vaksinasi. Kawan-kawan saya yang sebelum ini sudah sibuk mendaftar malah ada yang sanggup mendaftar dengan pihak swasta.

“Jadi secara tidak langsung memberi galakan kepada pihak yang kurang cakna, mendapatkan vaksin dengan segera,” katanya ketika di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pasangan suami isteri jarak jauh yang mendapat vaksin dos lengkap dibenarkan merentas daerah dan negeri bermula esok.

Selain itu, kelonggaran sama diberikan kepada ibu bapa untuk merentas daerah dan negeri untuk bertemu anak yang berumur 18 tahun ke bawah.

Walau bagaimanapun mereka perlu memenuhi kriteria melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua bagi vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac, dan melepasi 28 hari bagi vaksin jenis Johnson&Johnson dan CanSino.

Husna juga menzahirkan kegembiraan selepas Perlis antara tiga negeri yang layak memasuki fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Syukur alhamdulilah kerana Perlis sudah masuk fasa ketiga, sekaligus menunjukkan penduduk negeri ini telah lengkap mengambil vaksin malah menghampiri kadar 50 peratus.

“Tahniah kepada rakyat negeri ini yang memberi kerjasama, mungkin setengah orang kata Perlis kecil, namun inilah sebahagian daripada kelebihan yang ada, jadi banyak urusan lebih mudah berbanding negeri lain,” katanya.

Menurutnya apabila diberi kelonggaran fasa tiga sudah pasti memberi banyak manfaat kepada rakyat Perlis terutamanya kepada mereka yang berniaga.

“Sebenarnya makan di gerai, bukanlah sebab kita nak tayang boleh makan di kedai tetapi disebabkan kebanyakan rakyat Malaysia suka makan di kedai.

“Walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini, kedai makan boleh dibuka tetapi kebanyakan mereka mengalami kerugian kerana jualan berkurangan sehingga ada yang terpaksa ditutup.

“Orang kita suka makan di kedai, lepak di kedai jadi dengan pembukaan ini alhamdulillah mereka dah boleh bernafas kembali kerana ia merupakan salah satu tarikan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/8/2021

- Advertisement -