Tema Malaysia Prihatin tepati suasana wabak sekarang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tema sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2021, Malaysia Prihatin, menepati dengan keadaan semasa ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat dan ekonomi negara dalam tempoh ini memerlukan kerjasama semua pihak.

Menurutnya, kerajaan negeri bersama-sama persekutuan melaksanakan pelbagai usaha dan aktiviti bagi membantu rakyat yang terjejas daripada aspek kehidupan dan ekonomi dengan pandemik.

- Advertisement -

“Tema sambutan ialah Malaysia Prihatin di mana ia sesuai dengan keadaan semasa, kita perlu memberi kerjasama secara prihatin khususnya bersama menyokong kerajaan hari ini.

“Kerajaan berhasrat untuk mengekalkan kesejahteraan hidup rakyat dengan pelbagai bantuan prihatin, di samping meminta rakyat supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran bulan kebangsaan dan kibar jalur gemilang peringkat negeri di perkarangan Mabna MBI Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Turut hadir Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Dato’ Mohd Nassuruddin Daud dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan, Azahar Ismail.

Bagi menyemarakkan lagi sambutan tersebut Ahmad berkata sebanyak empat aktiviti dilaksanakan oleh Jabatan Penerangan Kelantan secara atas talian yang melibatkan peserta usia sehingga 21 tahun.

Ia seperti klick @Merdeka 2021, sayembara sajak merdeka 2021, melukis mural @Merdeka dan pertandingan bercerita kanak-kanak yang menawarkan hadiah sehingga RM6,000 bersama sijil dan plak.

“Selain itu ada juga aktiviti diadakan secara maya walaupun tidak dapat berhadapan secara semuka tetapi ada program yang disediakan Jabatan Penerangan Kelantan.

“Ia bagi memupuk rasa dan semangat patriotik dalam kalangan anak bangsa kita supaya mereka sentiasa sayang dan mahu mempertahankan tanah air sebagai pengisian bulan kemerdekaan kali ke-64,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/8/2021

- Advertisement -