MB tinjau kerja pembaikan paip SATU

- Advertisement -

KUALA NERUS: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerja pembaikan paip Syarikat Air Terengganu (SATU) yang pecah berjalan secara berterusan.

Ini, ujarnya bagi memastikan segalanya mengikut jadual dan dapat segera menyelesaikan urusan rakyat.

- Advertisement -

Beliau bersama pasukan turun untuk melihat sendiri proses baik pulih yang dijalankan, malam tadi.

“Terima kasih kepada semua yang terus bekerja,” ujarnya dalam satu hantaran melalui laman Facebook beliau, malam tadi.

Pada hantaran sebelum itu, beliau juga memaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Infrastuktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh turut membuat tinjauan di lokasi paip pecah untuk melihat perkembangan kerja-kerja baik pulih yang dilaksanakan oleh pihak SATU, petang semalam. Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah SATU, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

“Doakan agar segala kerumitan atau apa jua permasalahan dapat diselesaikan secepat mungkin dan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan sehingga jam 3 pagi tadi, dua lori tanker SATU, tanker Bomba dan lori serta kenderaan roda 4 para petugas masih bergerak mengisi air ke tangki-tangki yang disediakan di tepi jalan termasuk bekas-bekas air orang kampung.

“Moga Allah membalas jasa mereka,” ujarnya menerusi laman Facebook beliau pagi ini.

Sebelum itu, beliau berkata, lebih enam juta liter air telah diagihkan semasa krisis air Kuala Nerus dengan bantuan pelbagai pihak antaranya SATU, Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu, PK Nerus, PKM Dun-Dun, JPKK dan NGO-NGO.

“Dan yang terbaru Majlis Getah Malaysia yang menyediakan dua tanker berkapasiti 40,000 liter,” ujarnya yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam kalangan para pegawai kerajaan, ahli jawatankuasa JPKK, syarikat air dan sukarelawan kalangan Pemuda termasuk Jabatan Amal, Muslimat dan Ulamak serta NGO dan individu yang telah bertungkus lumus membantu rakyat dalam masa lima hari ini dan untuk hari-hari seterusnya.

“Moga Allah membalas jasa-jasa kalian,” katanya.

Krisis air itu berlaku sejak 2 Ogos lalu yang memabitkan kawasan Parlimen Kuala Nerus dan Dun Batu Rakit (Parlimen Setiu) yang melibatkan lebih 28,000 keluarga disebabkan pam bersaiz 1,200 milimeter pecah di dasar Sungai Terengganu. – HARAKAHDAILY 7/8/2021

- Advertisement -