Akta Majlis Keselamatan Negara sah – Mahkamah Persekutuan

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan semalam memutuskan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (AMKN) 2016 adalah sah dan merupakan undang-undang berperlembagaan.

Dalam keputusan majoriti 5-2 yang dicapai tujuh Hakim Mahkamah Persekutuan membuat keputusan untuk menjawab persoalan perundangan mengenai keperlembagaan AMKN yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan saman pemula yang difailkannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar keperlembagaan AMKN.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan permohonan Anwar di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk merujuk perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan empat persoalan perlembagaan.

- Advertisement -

Keputusan majoriti dibacakan oleh Hakim Datuk Zaleha Yusof dan lain-lain anggota panel hakim yang bersetuju dengan beliau adalah Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim, Datuk Mary Lim Thiam Suan and Datuk Rhodzariah Bujang.

Zaleha berkata AMKN adalah sah dan tidak bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan Dasar Keselamatan Negara, antaranya ia tidak menunjukkan AMKN adalah undang-undang bagi menentang subversif.

“Dengan jelas, ia bermaksud untuk merangkumi perlindungan dan keselamatan rakyat terhadap keadaan seperti banjir, gempa bumi dan situasi lain seperti pandemik Covid-19 pada masa ini. Mahkamah tidak boleh menutup mata sebaliknya mengambil maklum dari segi perundangan magnitud dan kesan pandemik Covid-19, semuanya kekal nyata dan memberi kesan kepada keselamatan negara ini.

Sudah pasti, Covid-19 bukannya disebabkan tindakan atau ancaman tindakan subversif, keganasan terancang, perbuatan dan jenayah yang memudaratkan orang awam disebabkan sekumpulan orang yang terbesar, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan. Tiada bukti yang hampir boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan mahkamah tidak boleh terlibat di dalam membuat spekulasi, kata beliau ketika menyampaikan keputusan itu dalam aplikasi Zoom.

Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal yang berpendapat AMKN 2016 adalah tidak selari dengan perlembagaan dan tidak sah kerana ia adalah satu undang-undang bagi menguruskan keselamatan negara dan ketenteraman awam yang berpotensi menjejaskan hak asasi seseorang seperti kebebasan diri, kebebasan bergerak, kebebasan bersuara, berhimpun dan menubuhkan persatuan serta hak terhadap harta.

Ong berkata mahkamah didorong kepada kesimpulan bahawa AMKN adalah satu undang-undang keselamatan dengan kuasa seperti dalam darurat yang melampaui semua empat hak asasi terutamanya yang secara spesifik dibenarkan di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

“Oleh itu, AMKN adalah suatu akta yang termasuk dalam lingkungan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu saya membenarkan rayuan itu,” katanya.

Ong kemudian mengarahkan kes itu didengar di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Persekutuan mendengar semula soalan perundangan Anwar pada 10 Sept tahun lepas dan membenarkan permohonan semakan semula Anwar untuk mengetepikan satu keputusan majoriti pada 11 Feb yang enggan menjawab soalan berperlembagaan mengenai kesahan AMKN.

Pada 11 Feb tahun lepas, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dengan majoriti 5-2 menolak untuk mendengar soalan berperlembagaan yang dibangkitkan Anwar mengenai AMKN dan menyatakan tidak pernah ditunjukkan bahawa kewujudan AMKN telah menjejaskan kehidupan peribadi Anwar.

Sehubungan itu Anwar memfailkan satu permohonan untuk menyemak semula keputusan 11 Feb itu dan mahkamah membenarkan permohonannya pada 10 Sept untuk mengetepikan keputusan majoriti itu dan mengarahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Persekutuan.

Anwar telah memfaikan saman pemula pada 2016 untuk mencabar keperlembagaan AMKN dan mendakwa pelaksanaannya tidak mengikut perlembagaan. Beliau menamakan Majlis Keselamatan Negara dan kerajaan selaku defendan.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan S Narkunavathy mewakili Majlis Keselamatan Negara dan Kerajaan Malaysia sementara Datuk Seri Gopal Sri Ram dan J Leela mewakili Anwar. – BERNAMA

- Advertisement -