Paip SATU bocor: UMT kongsi kepakaran pengimejan dasar sungai

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) melalui Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) berkongsi kepakaran dalam membuat pengesanan dan pengimejan dasar Sungai Terengganu bagi mengesan kebocoran paip milik Syarikat Air Terengganu (SATU).

Pegawai Penyelidik Kanan INOS Dr Azizi Ali berkata pihaknya melakukan operasi imbasan sonar dasar sungai bagi mendapatkan maklumat lokasi kebocoran serta kedalaman dan keluasan kawasan yang terlibat.

- Advertisement -

“Keadaan air di dasar sungai yang keruh dan gelap amat menyukarkan pasukan penyelam menentukan kedalaman dan gambaran kawasan paip yang pecah tersebut.

“Data yang diperoleh menggunakan sonar imbas sisi ini akan digunakan SATU untuk memdapat maklumat secara keseluruhan kawasan kebocoran bagi melancarkan kerja pembaikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara peralatan yang digunakan dalam kerja-kerja imbasan Sungai Terengganu itu adalah sonar imbas sisi dua frekuensi (dual frequecy sidescan sonar) pembezaan sistem kedudukan sejagat (DGPS), berbilang alur (multibeam), kenderaan dalam air secara kawalan jauh (ROV) serta sub bottom profiler bagi tujuan pencarian, pengesanan dan pemetaan objek serta imej di dasar sungai.

Beliau berkata UMT sentiasa bersedia berkongsi kepakaran dengan kerajaan negeri, terutamanya dalam isu penting yang melibatkan komuniti.

“Kita sedia untuk bekerjasama bagi jangka masa panjang agar kajian yang lebih strategik dapat dibuat sebagai langkah pencegahan dalam menghadapi krisis dan isu-isu setempat dan juga negara,” katanya.

Krisis gangguan bekalan air yang melibatkan 28,700 akaun pengguna di sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu sejak Isnin lepas adalah yang terburuk pernah berlaku di negeri ini, melibatkan lima kawasan Dewan Undangan Negeri.

SATU menjangkakan kerja pembaikan akan siap pada Rabu ini dan memberi jaminan semua penduduk di kawasan terjejas akan tetap menerima bekalan air bersih melalui agihan air yang dijadualkan pihaknya. – BERNAMA

- Advertisement -