Mengurus persaingan ideologi secara sihat

- Advertisement -

SAYA tahu, ada dari kalangan kalian yang terpesona dengan Liberalisme. Ada yang terpesona dengan Sosialisme, atau lebih tepatnya Demokrasi Sosial. Ada yang terpesona dengan Anarkisme.

Mungkin juga ada yang hanya ikut-ikut sahaja tanpa mengkaji pun idealisme-idealisme ini. Tulisan saya ini, harapnya kalian tidak menghukum secara semberono, kerana saya tahu kalian sangat perjuangkan kebebasan bersuara.

- Advertisement -

Tak adillah kalau kebebasan bersuara itu hanya bermaksud ‘kalian sahaja boleh bersuara’. Saya juga patut diberi kebebasan bersuara untuk mengkritik kalian, selaras dengan apa yang kalian laungkan.

Kepada para Liberalis, kalian sedar bahawa Liberalisme dalam sejarahnya telah melahirkan penindas. Siapa yang kata? Sosialisme yang kata. Sebab itulah Sosialisme muncul.

Kepada para Sosialis, atau lebih tepat aliran Demokrasi Sosial. Dalam sejarah, Sosialisme juga telah melahirkan penindas, seperti Lenin. Ya, saya tahu kalian gigih mengatakan kami lalui jalan Demokrat, manakala mereka itu lalui jalan radikal.

Cuma, kalian mungkin tak dapat nafikan bahawa Sosialisme telah gagal melahirkan masyarakat yang ideal. Siapa yang kata? Anarkisme yang kata. Sebab itulah mereka muncul era Revolusi Rusia.

Anarkisme pula, kalian mengimpikan suasana masyarakat yang tiada sebarang ikatan undang-undang. Tetapi persoalan yang timbul, apabila undang-undang tiada, masyarakat akan menjadi huru-hara.

Apa yang dijawab oleh Anarkis? Anarkis mengatakan bahawa mereka sedang berbicara dengan masyarakat yang siuman. Manakala yang buat huru-hara itu masyarakat yang tak siuman (lihat Alexender Berkman).

Fikirlah, ketika mana undang-undang sedang dikuatkuasakan pun kalian langgar sahaja. Bagaimana pula sekiranya undang-undang itu tiada? Fikirlah adakah idea tadi itu benar-benar realiti atau sekadar Utopia?

Ya, saya sedar. Masing-masing ada sandaran sejarahnya. Mungkin kalian melihat saya tidak adil dalam menceritakan jalur sejarahnya. Mungkin juga, saya berhujah cara salah. Tegurlah saya kalau ada yang silap.

Dalam masa yang sama, saya sedar. Saya juga harap kawan-kawan saya juga sedar. Kalian bertindak sedemikian kerana merasakan sudah tidak ada jalan untuk bersuara dan melahirkan ketidak-puasan hati.

Walaupun alam maya beroperasi 24 jam, namun ia belum cukup bagi kalian untuk bersuara. Kalian merasakan tersekat untuk bersuara kerana Parlimen terpaksa tutup disebabkan COVID-19. 

Mungkin ada di kalangan kalian melihat ia adalah kegagalan kerajaan menangani COVID-19. Lalu, Parlimen mesti dibuka untuk bersama-sama menyelesaikan pandemik ini. Kerajaan pula dilihat berdalih untuk kekal.

Dalam situasi ini, saya lebih cenderung untuk menyalahkan diri sendiri. Agamawan seperti saya yang tidak memberi solusi kepada isu umat, agamawan seperti saya yang hanya tahu sembang kari dan gajah terbang.

Saya minta maaf atas kelemahan dan kekurangan saya ini. Tegurlah saya. Agamawan seperti saya sepatutnya tak boleh persembahkan Islam secara dogma (taklid buta). Ruang-ruang berfikir perlu dibuka, kerana itulah fitrah yang sebenar.

Marilah kita sama-sama mengurus persaingan ideologi ini secara sihat. Bukan dengan jalan hutan belantara. Dialogkanlah secara logik dan rasional, sebagai seorang manusia yang mempunyai akal fikiran. Saya yakin, di sana pasti ada jalan.

Buat sahabat-sahabat saya, lihatlah umat dengan hati. Jangan memborongkan semuanya atas istilah musuh. Sedarlah, kadangkala kecelaruan umat itu berpunca daripada kegagalan diri kita sendiri. 

Kadangkala kita melihat mereka dengan mata ‘benci’. Sedangkan mereka itu sedang mencari-cari kebenaran. Adakah wajar kita melihat mereka di satu lembah, manakala kita berada di lembah yang lain?

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 4/8/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000953077134/posts/5822312091143836/

- Advertisement -