Himpunan: UMMAH seru NGO buat laporan polis

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyeru kepada seluruh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), NGI dan mana-mana pihak membuat laporan polis terhadap ahli politik pembangkang dan kumpulan baju hitam yang telah melakukan demonstrasi di Dataran Merdeka, semalam dan 31 Julai lalu.

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata berdemonstrasi di saat penularan wabak masih tinggi adalah tindakan salah dan tidak menjaga sensitiviti rakyat yang sedang merana bahkan berpotensi menjadi penyumbang kepada penambahan jangkitan wabak.

- Advertisement -

“Frontliner, para doktor perubatan, rakyat yang ikhlas berjuang menghadapi Covid-19 sangat kecewa dengan sikap politik melampau sebegini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Justeru itu, kata beliau, ahli politik dan anak didik politik mereka harus diberi peringatan yang wajar oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Zai menerusi kenyataannya turut menyertakan draf laporan polis untuk rujukan seluruh rakyat: https://m.facebook.com/136651590332711/posts/796286584369205/

“Nyatakan kekecewaan anda demi kesejahteraan dan kesihatan negara,” ujarnya sambi menyatakan UMMAH Pusat bersama cawangan negeri membuat laporan polis hari ini. – HARAKAHDAILY 3/8/2021

- Advertisement -