Juara Unduk Ngadau gesa rakyat Sabah daftar vaksin Covid-19

- Advertisement -

PENAMPANG: Juara Unduk Ngadau 2021 Maya Hejnowska menggesa rakyat Sabah yang belum mendaftar untuk mendapatkan vaksin Covid-19 agar tidak menangguhkan tindakan itu.

“Adalah penting untuk kita mendaftar secepat mungkin kerana vaksin adalah satu daripada kaedah untuk melindungi diri sendiri dan orang di sekeliling kita,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

- Advertisement -

Maya yang mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) hari ini berkata vaksinasi amat penting bagi membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok tidak lama lagi.

Pemenang Unduk Ngadau, satu pertandingan ratu cantik yang diadakan setiap tahun pada acara kebudayaan Kaamatan di Sabah, berkata beliau juga memahami ada sesetengah orang yang takutkan jarum dan disuntik.

“Itu juga terjadi kepada saya. Tetapi, ia tidaklah begitu menakutkan selepas anda berjaya mengharunginya. Benar apa yang orang kata rasa sakitnya seperti digigit semut. Bagi saya, proses suntikan amat cepat, kemudian selesai,” katanya.

Semalam, Pengarah Jabatan Kesihatan Sabah Dr Rose Nani Mudin berkata hampir 40 peratus penduduk Sabah menerima suntikan dos pertama vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) peringkat negeri dimulakan pada Mac, manakala 18 ke 10 peratus telah menerima dua dos suntikan. – BERNAMA

- Advertisement -