Pegasus: Senjata makan tuan

Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KETIKA ini dunia sedang dilanda kebimbangan berikutan applikasi perisikan gred tentera ciptaan NSO Group dari Israel, Pegasus dikatakan telah menyusupi peranti telekomunikasi seperti telefon pintar milik lebih 50,000 orang yang terdiri daripada pemimpin negara, wartawan, pegawai-pegawai tertinggi kerajaan, peguam dan aktivis daripada seluruh dunia.

Perkara tersebut mula dilapor dan didedahkan oleh akhbar-akhbar utama dunia seperti Washington Post, The Guardian, Le Monde dan beberapa lagi media utama dunia serta telah mula dikesan dan didedahkan oleh Human Rights Watch dan The New York Times seawal Jun 2017 apabila berlakunya kehilangan 43 orang pelajar di negeri Guerrero, Mexico pada tahun 2014.

The New York Times ketika itu melaporkan bahawa aplikasi perisikan Pegasus telah menyasarkan seorang peguam yang bekerja dengan sebuah badan bukan kerajaan di Mexico, Centro Prodh yang mewakili keluarga pelajar-pelajar yang hilang tersebut.

- Advertisement -

Seorang ahli akedemik dan dua wartawan terkemuka Mexico dalam laporan tersebut telah mendedahkan bahawa Kerajaan Mexico telah menggunapakai applikasi perisikan Pegasus untuk memantau peguam dan Centro Prodh namun ianya dinafikan oleh Kerajaan Mexico.

Citizen Lab, sebuah makmal penyelidikan perisian di bawah Musk School of Global Affair di Universiti Toronto, Kanada berdasarkan kepada laporan tersebut telah menjalankan kajian dan mendapati bahawa terdapat tanda-tanda jelas applikasi perisikan Pegasus yang dibangunkan oleh NSO Group dari Israel telah menggodam telifon pintar milik peguam dan pemilik Centro Prodh.

Kajian lanjut yang dijalankan oleh Citizen Lab pada tahun 2018 yang kemudiannya diterbitkan laporan pada 18 September 2018 mendedahkan bahawa dari Ogos 2016 hingga Ogos 2018, apllikasi perisikan Pegasus telah beroperasi di lebih 45 buah negara, di mana ia dipercayai menjalankan kerja-kerja perisikan.

Dalam laporan tersebut juga menyatakan bahawa berdasarkan kajian yang dijalankan, terdapat enam buah negara dilaporkan menggunakan applikasi tersebut dengan konsisten iaitu Bahrain, Kazakhstan, Mexico, Maghribi, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada Mac 2019 dalam satu temuramah dengan rangkaian televisyen Amerika Syarikat, CBS dalam rancangan CBS  60 Minutes, Ketua Pegawai Eksekutif NSO Group, Shalev Hulio menafikan semua pertuduhan yang dilemparkan ke atas NSO Group dan menegaskan bahawa syarikatnya hanya menjual perisikan Pegasus kepada negara-negara di dunia yang bertujuan untuk mengekang ancaman pengganas dan ancaman jenayah rentas negara serta penyeludupan manusia.

Malah dalam satu temuramah berlainan dalam rancangan CBS 60 Minutes, Timbalan Presiden NSO Group Tamir Sachar turut menafikan tuduhan-tuduhan yang dilemparkan ke atas NSO Group dan memberikan jaminan bahawa applikasi perisikan keluaran NSO Group tidak digunakan untuk mengintip dan sebaliknya digunakan untuk tujuan kebaikan seperti memerangi pengganas.

Namun banyak juga soalan-soalan yang dikemukan pengacara rancangan tersebut Lesley Stahl tidak dijawab oleh Tamir Sachar dan Shalev Hulio terutamanya berkaitan negara-negara yang dijual perisian perisikan tersebut dan tujuan penggunaan utamanya sebagaimana yang dilaporkan oleh Human Rights Watch, Amnesty International dan Citizen Lab.

Namun yang pasti, untuk menjual perisian-perisian tersebut, Timbalan Presiden NSO Group Tamir Sachar mengakui bahawa NSO Group perlu mendapatkan kelulusan Kementerian Pertahanan rejim zionis Israel sebelum menjualnya kepada mana-mana pelanggan atau mana-mana negara.

Oktober 2019, Whatsapp iaitu anak syarikat kepada Facebook telah memfailkan kes di Mahkamah California, Amerika Syarikat terhadap NSO Group kerana mendakwa NSO Group telah menggodam pelayan (server) WhatsApp untuk menceroboh lebih 1,400 akuan pelanggan WhatsApp dengan meletakkan perisian perisikan Pegasus dalam peranti telekominukasi milik pelanggan-pelanggan WhatsApp terbabit.

29 Oktober 2019, WhatsApp dalam kenyataan medianya telah mendakwa bahawa perisian perisikan atau intipan Pegasus yang dimiliki oleh NSO Group dari negara haram Israel telah menggodam lebih 1,400 akaun WhatsApp pelanggannya dari April 2019  hingga Mei 2019 yang terdiri daripada wartawan, aktivis kemanusiaan dan lain-lain aktivis di seluruh dunia.

NSO Group menafikan perkara tersebut dan meminta mahkamah mengarahkan WhatsApp untuk membetulkan kenyataannya yang memfitnah NSO Group di mana akhirnya pada Julai 2020, kes tersebut diteruskan oleh mahkamah setelah mendapati kenyatan NSO Group tidak meyakinkan mahkamah bahawa NSO Group tidak memgambil bahagian dalam aktiviti menggodam akaun WhatsApp.

Tetapi kini, setelah lebih setahun berlalu nampaknya apa yang diperkatakan oleh kedua-dua tonggak NSO Group dan dinafikan sebelumnya ternyata adalah tidak benar. Bermula minggu lalu, pelbagai pendedahan demi pendedahan mengenai Pegasus telah terbongkar di akhbar-akhbar utama dunia.

Pendedahan itu dilakukan setelah dijalankan penyiasatan secara terperinci oleh Washigton Post dan beberapa lagi kumpulan media utama dunia yang berkerjasama dengan Amnesty International dan Forbidden Stories, sebuah badan bukan kerajaan yang dianggotai oleh wartawan yang berpangkalan di Perancis.

Mereka kemudiannya telah mendedahkan lebih kurang 50,000 nombor telefon individu yang disasarkan di sekurang-kurangnya di 50 buah negara di seluruh dunia. Walaupun majoriti daripada nombor telefon tersebut masih lagi tidak diketahui pemiliknya, yang telah dikenal pasti adalah 189 wartawan, 85 aktivis hak asasi manusia, 65 pemilik syarikat atau “business executives“ dan lebih 600 ahli politik, diplomat dan pegawai tinggi kerajaan tidak termasuk pemimpin utama negara.

Di antara wartawan yang diketahui menjadi sasaran Pegasus melalui nombor telefon yang didedahkan adalah daripada Al Jazeera, Wall Street Journal, Reuters, CNN, The New York Times, Associated Press, France 24, Le Monde, Bloomberg, The Economist, The Guardian, El Pais, Mediapart, Radio Free Europe, Voice Of America dan Agence France-Presse.

Mengesahkan lagi perkara tersebut, pada Julai dan Ogos 2020 lebih kurang 36 kakitangan Al Jazeera Media Network yang berpengkalan di Doha, Qatar yang terdiri daripada wartawan, penerbit, para eksekutif dan pemberita apabila telifon pintar mereka telah digodam dipercayai oleh applikasi perisikan Pegasus yang dimilik oleh NSO Group.

20 Disember 2020, Citizen Lab dalam laporan yang dikeluarkannya bertajuk “The Great iPwn, Journalist Hacked With Suspected NSO Group iMessage ‘Zero Click‘ Exploit“ mengesahkan perkara tersebut  sambil turut menambah bahawa seorang wartawan Al-Araby yang berpangkalan di London, Britain turut menerima nasib yang sama.

Lebih memeranjatkan lagi pada 20 Julai 2021, Akhbar Washington Post mendedahkan bahawa Pegasus juga turut menyasarkan pemimpin-pemimpin utama dunia termasuk Presiden, Raja, Perdana Menteri dan ahli-ahli politik yang berpengaruh yang kemudiannya mendedahkan nama-nama tersebut.

Di antaranya adalah tiga orang Presiden dan tiga orang Perdana Menteri yang masih lagi memegang jawatan iaitu Presiden Perancis Emmanuel Macron, Presiden Iraq Bahram Salih, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramphosa, Perdana Menteri Pakistan Imran Khan, Perdana Menteri Mesir Mostafa Madbouly dan Perdana Menteri Maghribi Saad Eddine El Othmani.

Tujuh bekas Perdana Menteri yang ketika dilakukan pengintipan ke atas mereka masih lagi memegang jawatannya adalah Ahmed Obeid Bin Daghr dari Oman, Saad Hariri dari Lubnan, Ruhakana Rugunda dari Uganda, Edouard Philipe dari Perancis, Bakitzhan Sagintayev dari Kazakhstan, Noureddine Bedoui dari Algeria dan Charles Michel dari Belgium.

Satu-satunya raja yang diketahui berada di dalam senarai tersebut adalah Raja Mohammed VI daripada Maghribi. Menurut Washington Post dan kumpulan media serta badan bukan kerajaan yang berkerjasama dalam mendedahkan kegiatan “espionage“ yang dilakukan oleh NSO Group ini, mereka masih lagi mencari senarai pemilik nombor telefon yang masih tidak lagi diketahui pemiliknya sehingga saat ini.

Namun pendedahan berani tersebut telah mengakibatkan NSO Group menerima kecaman dan kritikan daripada banyak negara-negara di dunia terutamanya daripada Perancis. Kerajaan Perancis mengecam tindakan tersebut dan menuntut penjelasan daripada rejim zionis Israel mengenai pencerobohan dan pengintipan yang dilakukan terhadap Presiden Perancis Emmanuel Macron.

Pihak pendakwaraya di Paris juga turut membuka kes dan sedang menyiasat berkenaan beberapa wartawan daripada media Perancis seperti Le Monde yang mendakwa telefon pintar mereka telah digodam oleh applikasi perisikan Pegasus.

Media-media di Perancis ketika ini terus mengecam NSO Group dan mendesak regim zionis Israel mahupun NSO Group memberikan jawapan dan sehingga ke hari ini NSO Group masih mendiamkan diri dan tidak memberikan jawapan.

Akhirnya pada Rabu lalu, Menteri Pertahanan rejim zionis Israel telah mengumumkan akan melakukan lawatan ke Paris, Perancis untuk membincangkan berkenaan dengan applikasi perisikan Pegasus milik NSO Group.

Namun percayalah, dengan masih banyak lagi nombor telefon yang masih belum dijumpai dan dikenal pasti pemiliknya, kita akan dikejutkan lagi di masa hadapan dengan pendedahan-pendedahan yang bakal dilakukan sama ada oleh Washington Post dan media-media antarabangsa yang berkerjasama dengannya serta termasuklah badan-badan bukan kerajaan yang bertungkus  lumus mendedahkan kelicikan dan jenayah yang dilakukan oleh NSO Group ini.

Sudah pastinya tindakan NSO Group ini mendapat restu daripada rejim zionis Israel, jika tidak pastinya Menteri Pertahanan regim zionis Israel Benny Gantz tidak akan ke Paris, Perancis untuk berbincang mengenai Pegasus dan berkongsi maklumat mengenai perisian tersebut.

Apa sekalipun natijahnya, dengan perlakuan dan kebiadapan regim zionis Israel terhadap Palestin dan rakyatnya, kita semua pasti tidak hairan dan terkejut dengan perlakuan rejim zionis Israel dan syarikat-syarikat yang diterajui serta dimiliki oleh individu yahudi Israel. Jika negara boleh dirampas dan dijajah serta dihalau penduduk asalnya, apalah sangat jika dibandingkan dengan menceroboh telefon pintar.

Namun ternyata kegiatan jijik dan keji syarikat negara haram Israel ini yang direstui oleh rejim zionis Israel akhirnya memakan diri mereka dan semuanya telah terdedah. Di kala ini juga semakin hari semakin banyak desakan kepada negara-negara kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Britain dan beberapa negara lagi untuk mengenakan sekatan ke atas regim zionis Israel termasuk untuk mendakwa di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICJ).

Semakin hari dunia semakin tidak boleh menerima rejim zionis Israel namun kita sebagai umat Islam usah terlalu leka dan mengatakan kita telah hampir mencapai kemenangan dan membebaskan Palestin. Kelicikan dan tipu muslihat rejim zionis Israel masih lagi berleluasa di seluruh dunia dan perjalanannya masih panjang.

Sambil kita berusaha, berdoalah kepada Allah SWT. Mudah-mudahan doa kita semua dimakbulkan dan akhirnya Palestin serta rakyatnya bebas dari cengakaman rejim zionis Israel seterusnya membebaskan Baitul Maqdis dan Masjidil Aqsa selama-lamanya demi masa depan dan penyatuan umat serta Dunia Islam seluruhnya.

Amin Ya Rabbal Alamin.

Islam Memperkukuh Perpaduan

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 31/7/2021

- Advertisement -