Kestabilan politik prasyarat penting hadapi wabak

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Kestabilan politik dan perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi prasyarat penting ketika menghadapi pandemik Covid-19 sekarang.

Penyelaras Sahabat Malaysia Relief Agency (MRA) Mohd Saifizi Saidon berkata, semua pemimpin politik perlu menonjolkan sikap kematangan berpolitik dalam situasi mencabar hari ini.

Katanya, pemimpin yang berwibawa menjadikan medan politik untuk berkhidmat kepada rakyat dan bukannya mengintai peluang untuk bagi mendapat laba politik peribadi.

- Advertisement -

“Ahli politik juga perlu menjadi contoh kepada masyarakat dan bukannya merebut peluang menimbulkan suasana riuh rendah seperti berlaku di parlimen sejak Isnin lepas.

“Begitu juga pemimpin politik hendaklah sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam, Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man mengajak semua pihak bersatu padu dan mengenepikan politiking dalam menguruskan negara ketika situasi pandemik Covid-19.

Mohd Saifizi juga berkata, kestabilan politik serta perpaduan rakyat sangat diperlukan dalam menghadapi ancaman pandemik sekarang.

Sementara itu Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berharap semua pemimpin dan rakyat mendukung usaha kerajaan bagi menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Ketepikan dahulu politik kepartian dan peribadi, beri tumpuan dan kerjasama kepada negara dalam menghadapi situasi genting ketika ini.

“Marilah kita bersatu padu sama ada pemimpin kerajaan atau pembangkang kerana rakyat sedang memerhati tingkah laku kita,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2021

- Advertisement -