Projek baik pulih tebing sungai dijangka bermula Ogos

- Advertisement -

KOTA BHARU: Projek membaik pulih tebing Sungai Kelantan di Pasir Mas dijangka bermula Ogos ini, di mana pengambilan tanah sudah bermula.

Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan kejadian tanah runtuh di Kampung Pohon Chelagi Pasir Mas akan dapat diselesaikan dalam tempoh empat bulan akan datang.

“Saya jangka bulan ini pun sudah boleh dimulakan kerja-kerja di tapak, kita letak sasaran di mana kena selesai dalam tahun ini sebelum tiba musim tengkujuh tidak lama lagi.

“Cuma dari segi teknikal itu lewat sikit tetapi secara asasnya kena siapkan sebab risiko kalau tidak siapkan akan membahayakan penduduk,” katanya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan 6,000 bantuan pek PEMULIH di Parlimen Kubang Kerian kepada Adun-Adun di Maahad Taqaddum Maarif, Pasir Tumboh di sini hari ini.

Turut hadir Adun Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus; Adun Demit Dato’ Mumtaz Md Nawi dan Adun Salor, Saiful Adli Abu Bakar. Hadir sama kira-kira 50 Penghulu Mukim di Parlimen Kubang Kerian.

Pada Mac lepas sebanyak 15 keluarga yang tinggal di Kampung Pohon Chelagi diarah berpindah selepas tebing Sungai Kelantan berhampiran rumah mereka runtuh.

Malah kerajaan negeri telah menghantar kertas cadangan berhubung pemulihan runtuhan tebing sungai tersebut kepada kerajaan persekutuan.

Pemulihan dicadang melibatkan kerja-kerja membaik pulih runtuhan tebing dan pengambilan tanah di kawasan terbabit dianggar melibatkan kos RM60 juta.

Ia turut merangkumi pembinaan semula Rumah Pam Saliran Air Muleh dan komponen mekanikal dan elektrikal.

Tuan Ibrahim juga berkata, dibimbangi berlaku penularan wabak Covid-19 ketika musim tengkujuh yang dijangka bermula pada November depan.

Oleh itu beliau meminta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dapat dipercepatkan khususnya di negeri-negeri yang terlibat dengan Monsun Timur Laut termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan sebahagian Johor.

“Kita hendak beri keutamaan kepada negeri yang berisiko banjir sebab kalau mereka tidak dapat vaksin dan mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara, ada potensi berlaku jangkitan Covid-19.

“Jadi kita minta disegerakan kawasan terbabit sebab risikonya kemungkinan berlaku jangkitan. Dalam Mesyuarat Kabinet pun dibangkitkan supaya diutamakan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/7/2021

- Advertisement -