YADIM, NGO Islam lancar korban di pedalaman Sabah

- Advertisement -

Oleh NURSAM MOHAMMAD

KOTA KINABALU: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Sabah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam Sabah bakal menganjurkan program kembara korban di daerah pedalaman negeri itu kali ke-6 bersama Pertubuhan Pembangunan Pendidikan Islam Sabah (PISA).

Kembara korban itu dijadualkan berlangsung sepanjang tiga hari bermula Hari Raya Aidiladha pertama di daerah Tambunan, Sook, Nabawan, Keningau ,Kiulu, Paitan Pitas, dan Pulau Sanghai Sandakan.

- Advertisement -

Menurut Pengarah YADIM Sabah, Ustaz Muhammad Akmal Othman, beliau berharap sekurang-kurangnya agihan daging korban itu dapat memberi kegembiraan bagi mereka yang serba kekurangan terutamanya dalam situasi pandemik hari ini yang telah menjejaskan pendapatan harian mereka.

“Di pihak YADIM SABAH kami mengalu-alukan NGO Islam untuk bekerjasama dalam usaha meramaikan sukarelawan YADIM dan rakan siswa YADIM agar dapat melibatkan masyarakat dalam gerak kerja dakwah lapangan dalam bidang masing-masing,” ujarnya dalam majlis perasmian tersebut, pada Isnin.

Sementara itu, Pengerusi PISA, Ustaz Mohd Anuar Ali berkata program kembara korban itu telah bermula sejak tahun 2015 lagi serta memfokuskan bantuan dan sumbangan di daerah-daerah pedalaman Sabah selain mensasarkan agihan kepada golongan asnaf.

“Sehingga kini 92 ekor lembu untuk program korban ini sudah ditaja oleh individu penyumbang dari seluruh negara,” tambahnya.

Beliau juga turut mengucapkan ribuan terima kasih atas sokongan dari kesemua penyumbang bagi melaksanakan program ini.

Turut hadir wakil daripada NGO Persatuan Alumni SM Sultan Abdul Halim (Jitra Kedah), Pusat Pembangunan as-Sabah (Misi Syahadah) dan Surau Bangi Perdana (SBP) Seksyen 3, Bandar Baru Bangi. – HARAKAHDAILY 21/7/2021

- Advertisement -