Kronologi Agung Nabi Allah Ibrahim A.S

- Advertisement -

KALIMAH Ibrahim disebut di dalam al-Quran di 25 surah yang diulang sebanyak 69 kali. 

Nabi Ibrahim A.S lahir dan membesar di bumi Iraq, diberi gelaran Bapa segala Nabi (Abul Anbiyak), juga Khalilullah (An Nisa’: 125) dan merupakan salah seorang Rasul Ulul Azmi.

Diutuskan untuk kaumnya di bumi Iraq yang menyembah patung berhala dan bintang-bintang. 

- Advertisement -

Dalam satu Hadis yang bermaksud:

“Diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah menyebutkan rupa paras Nabi Ibrahim A.S paling mirip dengan rupa Nabi Muhammad S.A.W ketika peristiwa Mikraj, Nabi S.A.W bertemu dengannya di langit yang ketujuh.”

(Riwayat Imam Muslim)

Tidak ada perincian kisah Nabi Ibrahim sebelum Kerasulan sebagaimana kisah Nabi Yusuf A.S dan Nabi Musa A.S.

Dakwah Baginda terbahagi kepada 2 fasa. Fasa Iraq dan fasa Hijrah ke Palestin. Dalam fasa Iraq terbahagi kepada tiga fasa. Iaitu dakwah kepada ayahnya Aazar, kemudian kepada kaumnya dan fasa terakhir dakwah kepada Raja yang zalim. 

Ayah Baginda iaitu Aazar juga merupakan penyembah berhala. Sebahagian Ulamak menyebutkan Aazar adalah pak ciknya dan bukan ayahnya. Menurut pandangan Dr Solah Abdul Fattah Al Khalidi, lafaz Al Quran secara jelas menyebutkan Aazar adalah ayah kandungnya dan bukanlah suatu keaiban untuk ayah seorang Nabi tidak beriman. 

Dakwah Baginda kepada ayah dan kaumnya, rujuk surah Al An’am: 74 – 79, As Syu’ara: 69 – 82.

Ayat berkenaan Nabi Ibrahim mencari Tuhan (Al An’am: 76-79) menyebutkan ia adalah fasa sebelum Kerasulan. Manakala Jumhur Ulamak menyebutkan ia adalah pendekatan logika Baginda untuk membetulkan semula cara berfikir kaumnya mengenai hakikat sebenar Ketuhanan. (Al Anbiyak: 51-56)

Dakwah kepada Raja yang Zalim merupakan fasa akhir dakwahnya di Iraq (al Baqarah: 258) melalui kehujahan yang sama dan konsisten untuk membetulkan pemikiran yang sesat. Kegagalan pihak kerajaan menjawab hujah dan debat mengheret kepada tindakan kekerasan dan zalim, Baginda diarahkan untuk dibakar hidup-hidup. (As Soffaat: 83-94, Al Anbiyak: 51-60, 68-70).

Ada pandangan yang menyebutkan Raja Zalim tersebut adalah Namrud yang memerintah di Babylon.

Allah menyelamatkan Baginda daripada bakaran api tersebut. Selepas kejadian ini, Baginda berlepas diri dari kaumnya dan diperintahkan untuk berhijrah ke Palestin bersama isterinya Sarah (Ibrahim: 35-38).

Dalam perjalanan hijrah, bertemu dengan Nabi Luth yang juga dalam tujuan yang sama (Al Anbiyak: 71). Maka bermula fasa kedua dakwah Baginda di bumi Palestin dan sekitarnya.

Baginda turut menziarahi bumi Mesir, dan di sinilah berlakunya peristiwa Sarah di’rampas’ oleh Raja Mesir dalam Hadis Bukhari dengan kisah yang panjang. Dengan ketakutan Raja tersebut, lantas menghadiahkan seorang hamba yang bernama Hajar kepada Sarah, lalu mereka pulang ke Palestin. Disebabkan Sarah belum dikurniakan zuriat, lalu dihadiahkan Hajar kepada Baginda dan Baginda mengahwini Hajar, maka lahirlah Nabi Allah Ismail A.S (Ibrahim: 39).

1Dalam sejarah Nabi kita Muhammad S.A.W, juga berlalu plot yang sama iaitu Raja Mesir menghadiahkan Mariah Al Qibtiah kepada Nabi S.A.W. Daripada Mariah lahirlah Ibrahim.

Tak lama selepas kelahiran Ismail, Sarah akhirnya mengandung dan melahirkan Ishak A.S. Daripada Ishak lahirlah Yaaqub A.S dan lahir pula daripada Yaaqub A.S Yusuf A.S.

Kalimah Ismail disebut di dalam al-Quran sebanyak 12 kali dalam 8 surah. Selepas kelahiran Ismail A.S, Allah memerintahkan Baginda untuk berhijrah ke bumi Hijjaz. (Ibrahim: 35-38).

Kaabah masih belum dibina ketika mereka sampai di Hijjaz. Baginda berdoa supaya orang akan datang ke situ dan meninggalkan Hajar berdua bersama Ismail atas perintah Allah. Dari sinilah bermulanya kisah penemuan air zamzam dan sebab di sebalik pensyariatan ibadah Sa’ie melalui perbuatan Saidatina Hajar yang berulang alik di antara Safa dan Marwah.

Dalam satu Hadis Nabi S.A.W menyebutkan yang bermaksud:

“Rahmat Allah buat Ummu Ismail, Kalaulah bukan kerana dia, nescaya hari ini zamzam akan mengalir seumpama sungai”. 

Qabilah Jurhum yang datang dari Yaman menuju ke Hijaz terlihat sekumpulan burung berterbangan di satu kawasan yang menjadi petunjuk terdapat air di situ. Lalu mereka bertemu Hajar dan meminta izin untuk tinggal menetap bersama. Hajar mengizinkan dengan syarat telaga zamzam adalah miliknya tetapi boleh sahaja untuk mengambil airnya.

Dikatakan Qabilah Jurhum datang ke Hijaz disebabkan pecahnya empangan Maarib dan mereka kehilangan sumber air.

Yaman disebutkan sebagai The Craddle of Arab, iaitu sebagai tempat asal bangsa Arab. Ismail A.S mempelajari Bahasa Arab daripada mereka dah seterusnya mengahwini wanita mereka. Dikatakan juga, tak lama selepas tempoh ini, Hajar meninggal dunia. 

Al-Quran merekodkan Nabi Ibrahim A.S berkunjung ke Makkah hanya beberapa kali sahaja melalui plot yang bersejarah. Iaitu ketika Ismail A.S masih bayi, kemudian ketika Ismail sudah berkahwin, kemudian membina Kaabah (Al-Baqarah 125-129) dan terakhir ketika peristiwa penyembelihan Korban. (As Saaffaat: 99-113).

Dalam satu riwayat menyebutkan, Baginda berulang alik daripada Palestin ke Makkah sebulan sekali dengan menaiki Buraq. Cuma riwayat ini darjatnya Mauquf iaitu terhenti pada Sahabat sahaja, melalui Riwayat Al Fakihi melalui Saidina Ali. (Rujuk Fathul Bari)

Masih ada banyak jalan cerita penting untuk kita hayati dan mengutip ibrah. Kita tamatkan dahulu setakat ini. Insya-Allah ada rezeki kita sambung lagi. Moga ia membantu untuk kita menelusuri Sirah Nabi Allah Ibrahim A.S dengan lebih baik. Ya Allah, sampaikanlah kami untuk mengerjakan Ibadah Umrah dan Haji di sana. 

Salam Aidiladha 1442H.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 21/7/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1222987424/posts/10226029000491237/

- Advertisement -