Warga asing ramai diami sekitar Taman Pelangi

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff tidak terkejut dengan video tular memperlihatkan gelagat warga asing solat sunat Aidiladha berjemaah di kawasan lapang di Taman Pelangi, Juru, Pulau Pinang, semalam.

Menurutnya, penduduk di lokasi tersebut sememangnya ramai terdiri daripada kalangan warga asing yang bekerja di kilang sekitar kawasan itu.

Malah katanya, tindakan mereka berkemungkinan disebabkan kepentingan merasakan solat hari raya begitu penting, katanya ketika diminta mengulas mengenai isu warga asing didakwa langgar prosedur operasi standard (SOP) kerana mengadakan solat jemaah di kawasan lapangan.

“Difahamkan Jawatankuasa Surau tidak membenarkan mereka masuk. Lalu depa sembahyang diluar pagar.

“Semangat ini sudah berlaku sebelum pandemik Covid-19 lagi. Mereka sanggup berjalan berbatu-batu semata-mata hendak solat hari raya dan solat jumaat,” katanya kepada Harakahdaily, hari ini.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 pagi dan tular setelah seorang pengguna Facebook memuat naik video yang memaparkan sekumpulan lelaku diangarkan mencecah ratusan orang sedang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang mengumumkan bahawa solat sunat Aidiladha di negeri itu hanya dibenar dilakukan di masjid negeri dan daerah dengan kapasiti 150 orang, masjid kariah (100) serta surau (50).

Dalam perkembangan sama, Polis Pulau Pinang turut mengesan membuka kertas siasatan bagi menyiasat kejadian perlanggaran SOP itu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, mereka itu didapati berbuat demikian selepas pengurusan surau tidak membenarkan mereka solat di dalam surau berikutan melebihi had ditetapkan.

Katanya, siasatan pihaknya mendapati tiada pelanggaran SOP oleh pengurusan surau berkenaan, namun dalam masa sama pihaknya akan meneruskan siasatan sekiranya berlaku perancangan awal untuk membawa kumpulan jemaah yang ramai ke lokasi berkenaan.

“Berdasarkan video yang tular, kita akan cuba mengenal pasti warga asing yang terbabit,” katanya di sini, pada Selasa. – HARAKAHDAILY 21/7/2021

- Advertisement -