Perutusan Aidiladha 1442H Pesuruhjaya PAS Terengganu

Dato' Husain Awang
- Advertisement -

ALLAHU Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd

Syukur kepada Allah kerana kita semua dapat menyambut Aidiladha pada tahun ini. Tidak dinafikan banyak perubahan telah berlaku sejak wabak Covid-19 melanda dunia termasuk di negara kita. Perubahan dalam kehidupan masyarakat, politik, kesihatan, pendidikan dan tidak terkecuali dalam adat kita beribadat seperti dalam ibadah Haji dan ibadah korban.

Umum tahu ibadah korban amat dekat dengan orang Islam di tanah air kita. Ia juga menjadi asbab kenapa kerajaan membenarkan ibadah ini dilakukan dengan SOP (prosedur operasi standard) yang telah diperhalusi dan sesuai dengan keadaan kita sekarang. Ibadah korban yang menganjurkan kita untuk berkorban dan ikhlas. Marilah kita bekerjasama untuk menyambut hasrat baik kerajaan dalam mengawal dan mengurangkan kes Covid terutama pada musim perayaan ini.

- Advertisement -

Syukur dan tahniah juga kepada 263 rakyat Malaysia di Arab Saudi kerana layak menunaikan Haji pada tahun ini. Mereka ini ialah wakil kita dan mereka juga menjadi saksi dan bukti bahawa, walau kita diuji dengan wabak, ia tidak menghalang orang Islam untuk beribadah kepada Allah. Pastinya ada hikmah dan kebijaksaan pada setiap kejadian Allah ini.

“Dan tidak ada yang lebih baik agamanya daripada orang yang menyerahkan dirinya kepada Allah (dengan ikhlas), sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, dan dia pula mengikut agama Nabi Ibrahim yang lurus (yang tetap di atas dasar tauhid) dan (kerana itulah) Allah menjadikan Nabi Ibrahim kesayanganNya.” [An-Nisa’: 125]

Kuatkanlah kesatuan di antara kita, jangan biarkan ada di antara kita yang bergerak sendirian dan tersasar dari matlamat perjuangan. Untuk menang perlukan pengorbanan dan keikhlasan, untuk kekal menang juga memerlukan pengorbanan dan keikhlasan. Tidaklah kita menyambut ibadah korban dan Ibadah Haji semata-mata kerana ibadah. Tapi pada ibadah itu adanya tuntutan dan arahan agar dakwah Islam tersebar luas. Ingatlah, kita melalukan ibadah ini kerana Allah dan kita berjuang ini juga kerana Allah.

Marilah kita menyambut Hari Raya Aidiladha dengan penuh rasa syukur kepada Allah, walau ada yang jauh dan tidak balik kerana akur dengan arahan kerajaan. Ia bukanlah penghalang untuk kita tidak merayakan Aidiladha, manfaatkan teknologi untuk bertanya khabar dan raikan jiran-jiran yang mungkin senasib dengan kita ketika ini. Akhir kata, Selamat menyambut Hari Raya Aidiladha.

YB SENATOR DATO’ HAJI HUSAIN AWANG
Pesuruhjaya PAS Negeri Terengganu
Ahli Dewan Negara
10 Zulhijjah 1442H / 20 Julai 2021 – HARAKAHDAILY 20/7/2021

- Advertisement -