Kedah terima bantuan untuk diagih kepada rakyat

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
Kerajaan Negeri Kedah menerima bantuan dan sumbangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihak persendirian mahupun syarikat untuk diagihkan kepada rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Hari ini, sebanyak 700 bakul makanan disampaikan kepada Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor oleh Syarikat Nova Asia Resource Sdn Bhd dari Kuala Lumpur.

- Advertisement -

“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Syarikat Nova Asia Resource Sdn Bhd kerana menyumbang 700 bakul makanan untuk diagihkan kepada keluarga terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19 ini,” ucap beliau sebaik menerima sumbangan daripada wakil syarikat terbabit, Dato’ Albert Tei, petang tadi.

Semalam katanya, sebanyak 6,000 kampit beras diterima daripada pihak persendirian dan sumbangan itu diurus oleh Exco Kerajaan Negeri,  Dr Robert Ling Kui Ee untuk diagihkan kepada penduduk.

“Oleh itu saya mengalu-alukan sekiranya ada syarikat-syarikat, NGO, pihak persendirian dan lain-lain yang ingin bersama-sama menyumbang kepada kerajaan untuk diagihkan kepada golongan sasaran,” katanya lagi.

Sungguhpun begitu, tambah Sanusi, NGO atau mana-mana pihak yang ingin mengagihkannya sendiri perlulah melaporkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah masing-masing.

PKOB katanya akan menyediakan kakitangan bagi mengiringi NGO terbabit semasa proses agihan sumbangan demi memastikan prosedur operasi standard (SOP) sentiasa terjaga.

“Saya telah menghubungi PKOB agar memudahkan urusan NGO untuk mengaturkan sumbangan supaya berjalan dengan lancar,” jelasnya lagi. – HARAKAHDAILY 15/7/2021

- Advertisement -