Turun kadar penggunaan katil di ICU syarat beralih fasa PPN

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

PENDANG:
Secara keseluruhan Kedah menunjukkan penurunan kes positif Covid-19 kecuali di beberapa lokaliti di Kulim dan Sungai Petani.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, kes yang masih tinggi di dua lokaliti berkenaan kebanyakannya berpunca ujian saringan pekerja kilang.

Katanya, lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan DiPerketatkan (PKPD) iaitu di Sungai Lalang dan Bakar Arang, kes dilihat agak tinggi berikutan ujian saringan dibuat secara menyeluruh.

- Advertisement -

“Tempat lain semakin menurun kecuali di lokaliti yang dikenakan PKPD dan Kulim sahaja. Ini kerana ujian saringan di lokaliti berkenaan dibuat secara menyeluruh melibatkan pekerja kilang,” katanya ketika ditemui di Markas PAS Pendang, semalam.

Dr Hayati juga berkata, keputusan kes Covid-19 akan dilihat tinggi menjelang Ahad setiap minggu namun beransur kurang pada hari berikutnya.

Perkara itu berlaku kerana makmal Covid-19 tidak beroperasi pada Jumaat dan Sabtu, manakala semua keputusan saringan akan dimaklumkan pada Ahad.

Beliau juga berharap tiada penambahan lokaliti PKPD di daerah Kuala Muda sambil mengingatkan orang ramai patuh terhadap prosedur operasi standard (SOP) sekiranya mahu wabak segera berakhir.

Katanya juga peraturan dan SOP ibadah korban sebagaimana yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Hal-Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) perlu dipatuhi.

“Tak boleh buat kenduri. Sehari hanya lima ekor haiwan korban dan urusan pengendaliannya hanya melibatkan 12 petugas sahaja. Daging sembelihan korban tidak boleh diagih di lokasi korban sebaliknya dihantar dari rumah ke rumah.

“InsyaAllah kalau semua patuh kepada SOP dan peraturan yang ditetapkan, kes Covid dapat dibendung,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kedah perlu berusaha menurunkan kadar penggunaan katil di wad ICU untuk kes-kes Covid sekiranya ingin segera beralih ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Buat masa ini penggunaan katil untuk kes-kes kronik wabak itu di wad ICU melebihi 80 peratus, sedangkan syarat yang ditetap antara 60 hingga 80 peratus sahaja.

“InsyaAllah sekiranya kes-kes positif Covid yang kronik dapat dikawal dan penggunaan katil di wad kecemasan menurun bawah 80 peratus Kedah mampu beralih ke fasa PPN sebab kadar vaksinasi sudah melebihi syarat yang ditentukan,” kata beliau.

Beliau juga berkata, kes Covid-19 di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani terkawal dan hasil ujian saringan menunjukkan penurunan.

“Hanya wad tertentu sahaja ditutup untuk sanitasi, perkhidmatan kecemasan beroperasi seperti biasa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

- Advertisement -