Dapur Rakyat inisiatif bekalkan penduduk makanan

- Advertisement -

TEMERLOH: Jabatan Amal Malaysia (AMAL) Kawasan Temerloh dengan kerjasama Yayasan Al-Fateh telah berjaya mengadakan Dapur Rakyat selama 10 hari di Flat Damai Taha, Mentakab, di sini sejak 4 Julai lalu.

Inisiatif tersebut adalah satu usaha dalam membantu mengurangkan beban kewangan rakyat terutama dalam kalangan berpendapatan rendah menerusi bantuan makanan bermasak yang disediakan secara gotong-royong.

- Advertisement -

Yang Dipertua PAS Temerloh, Md Jusoh Darus antara terlibat menjayakannya selain Naib Yang Dipertua, Hasanuddin Salim dan Ketua Pemuda, Ustaz Muhammad Shukri Shuib serta Pengerusi Yayasan Al-Fateh, Mohd Faisal Husin.

Bantuan makanan bermasak yang terhasil dari sumbangan orang ramai dan pelbagai pihak ini membolehkan pelbagai menu harian diberikan kepada penduduk dari Dapur Rakyat diketuai Komandan AMAL Temerloh, Badli Ahmad.

Menerusi usaha ini bukan sahaja mendekatkan hubungan PAS dengan masyarakat, tetapi juga memenuhi keperluan penduduk yang terjejas ketika ini berikutan pandemik COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ianya menjadi sebahagian khidmat bakti sokongan di samping giatnya usaha PAS Temerloh dalam memenuhi keperluan harian menerusi bantuan barangan asas kepada penduduk yang terkesan ketika ini

“Pihak kami akan menambah baik teknikal pelaksanaan jika program ini mendapat sokongan para penyumbang dan akan diteruskan lagi pada masa akan datang,” ujar beliau menyatakan komitmen mewakili anggotanya. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

- Advertisement -