22,000 botol air disumbang ke Keratong

botol
- Advertisement -

ROMPIN: PAS Kawasan Rompin telah menerima sumbangan sebanyak 27,000 botol air minuman daripada semua lapan ADUN PAS Negeri Pahang serta Dewan-dewan PAS dan pelbagai pihak termasuk NGO-NGO.

- Advertisement -

Sumbangan ini diterima sendiri oleh Yang Dipertua PAS Rompin, Ustaz Nazri Ahmad di mana akan diedarkan kepada seluruh penduduk yang terjejas akibat terputus bekalan air berikutan pencemaran.

Beberapa kawasan mengalami masalah tersebut setelah Loji Rawatan Air (LRA) Keratong terpaksa dihenti tugas setelah berlaku pencemaran di sumber utama membekalkan air iaitu di Sungai Pukin, di sini sejak kelmarin.

Beliau yang mewakili PAS Rompin merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang dan petugas yang telah membantu mengumpulkan sumbangan dan menghantar air mineral itu ke Keratong.

“PAS Rompin akan cuba mengedarkan air mineral ini kepada penduduk terjejas terutama di sekitar FELDA Keratong, Selancar dan perkampungan yang terlibat,” ujar Nazri.

Menurut beliau, kerja keras pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam mengatasi masalah gangguan bekalan air di kawasan itu juga amat dihargai di mana difahamkan bekalan akan kembali pulih Ahad ini.

“Kita harap masalah ini dapat dipulihkan segera agar penduduk dapat menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.

Difahamkan, kejadian tersebut telah menyebabkan gangguan bekalan air yang menjejaskan 11,500 akaun pengguna di sekitar kawasan tersebut.

Dimaklumkan, pencemaran sumber air mentah di Sungai Pukin dipercayai berpunca daripada kolam takungan di sebuah kilang memproses sawit di Ulu Keratong yang pecah dan menyebabkan sisa dari kolam takungan mengalir ke sungai berkenaan.

Dalam melaksanakan kerja-kerja permulihan, PAIP telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan bantuan penghantaran air bersih kepada pengguna secara berperingkat melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas. – HARAKAHDAILY 14/7/2021

- Advertisement -