Penduduk di lokasi PKPD perlu patuh SOP

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN
Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Penduduk di Taman Kurnia Jaya Pengkalan Chepa dekat sini dinasihatkan supaya mengekalkan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, kerana prestasi yang cukup baik dan berdisiplin, tempoh PKPD di Kampung Tukang Dollah sebelum ini tidak disambung, hanya selama dua minggu sahaja.

- Advertisement -

“Kita berharap penduduk di Taman Kurnia Jaya juga mengekalkan prestasi disiplin yang sama, dan mengelakkan untuk cuba keluar dari kawasan ini,” ujarnya ketika ditemui selepas menyantuni petugas barisan hadapan di Taman Kurnia Jaya, di sini hari ini.

Pelaksanaan PKPD taman itu melibatkan 2,800 penduduk yang bermula Jumaat lalu sehingga 22 Julai ini.

Menurutnya juga, penduduk di lokasi itu tidak perlu bimbang memandangkan bekalan makanan akan disalurkan kepada mereka secara berjadual.

“Pusat Khidmat Parlimen Pengkalan Chepa memperuntukkan sejumlah RM60,000 untuk menyediakan keperluan harian kepada penduduk di kawasan PKPD.

“Sumbangan juga turut dibekalkan Jabatan Kebajikan Negeri (JKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan lain-lain pihak.

“Jadi tidak perlu bimbang untuk berada di rumah walau pun tidak bebas keluar seperti sebelum ini,” ujarnya yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Katanya, apabila berkait dengan PKPD semua pihak tidak dibenarkan masuk atau keluar, melainkan petugas bahagian kritikal sahaja yang dibenarkan keluar bekerja contohnya kakitangan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Nadma atau seumpamanya. – HARAKAHDAILY 11/7/2021

- Advertisement -