Nenek 103 tahun rasa lega selepas terima suntikan vaksin

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Nenek kepada lebih 20 orang cucu yang berusia 103 tahun, Som Raman menjadi individu tertua di Perlis menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan 2020, di sini, petang semalam.

Beliau lebih mesra dengan panggilan Tok Som berasal dari Kampung Balik Guar, Chuping, Padang Besar menerima suntikan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech selepas tiba di dewan berkenaan ditemani menantunya, Fauziah Draman, 65.

- Advertisement -

“Tak sakit sangatlah cuma rasa sengal sikit sahaja di lengan ini, jadi bila dah cucuk (vaksin) ini legalah rasa.

“Selepas ini bolehlah cucu dan cicit pulang ke kampung, tok pun sudah rindu dan tidaklah risau jika mereka mahu pulang,” katanya ketika ditemui sejurus selepas menerima vaksin berkenaan.

Tok Som mempunyai empat orang anak dan dikurniakan kesihatan yang baik walaupun sudah berusia melebihi satu abad malah beliau tidak mengidap sebarang penyakit kronik.

Dalam pada itu, Pengerusi Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Perlis, Azman Mohd Yusof berkata, sehingga semalam, seramai 27,020 orang sudah menerima dos pertama vaksin manakala sebanyak 44,927 orang pula sudah melengkapkan dua dos vaksin seperti yang disasarkan oleh kerajaan.

Azman selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis berkata, pihaknya kini sedang berusaha untuk mencapai sasaran 40 peratus bagi indikator ambang nilai utama bagi negeri berkenaan melangkah ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) selepas ini.

“Untuk kes Makcik Som ini, kita sebenarnya boleh ke rumahnya untuk memberikan suntikan vaksin berkenaan tetapi komitmen Puan Som bersama menantunya yang mahu menerima vaksin di PPV 2020 ini sangat membanggakan.

“Saya lihat Makcik Som begitu tenang sahaja apabila mengambil vaksin ini dan ini membuktikan vaksin ini boleh diambil oleh sesiapa sahaja termasuk daripada golongan warga emas seperti Makcik Som ini,” katanya.

Sementara itu, seramai 35 pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke luar negara juga turut menerima vaksin dos pertama di PPV berkenaan.

Kebanyakan mereka bakal berlepas ke luar negara antara Ogos dan September.

Menurut seorang pelajar, Mohd Hazimi Yusri, 19, menzahirkan kesyukuran kerana kerajaan negeri begitu prihatin dengan mereka dan membantu mempercepatkan proses vaksinisasi dengan segera sebelum berlepas ke  luar negara.

“Saya baharu saja memohon, dan alhamdulillah sudah selesai untuk dos pertama dan ada juga kawan saya sudah pun mendapat temujanji untuk dos kedua,” katanya yang bakal melanjutkan pelajaran ke United Kingdom pada Ogos.

Seorang lagi, Naomi Levins turut menzahirkan rasa yang sama selepas selesai menerima vaksin dos pertama, semalam. – HARAKAHDAILY 8/7/2021

- Advertisement -