Teroka hutan simpan perlu dapat kebenaran kerajaan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU:
Tindakan pemimpin pembangkang cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram di Raub Ahad lepas mencerminkan sikap sebenar pemimpin terbabit.

Insiden yang berlaku itu bukan pertama kali berlaku, malah ketika Pakatan Harapan (PH) menguasai kerajaan, ada menteri mempertikaikan tugas anggota polis.

Tentunya ramai masih ingat kejadian rusuhan yang berlaku berhampiran kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya pada November 2018.

- Advertisement -

Dan pada Ahad lepas seorang wakil rakyat pembangkang dari Selangor dilapor ‘menggertak’ anggota Polis yang sedang bertugas.

Adun DAP Sungai Pelek Sepang Selangor Ronnie Liu dikatakan merentas negeri bagi membela pekebun durian Musang King yang menceroboh tanah kerajaan di Raub.

Azman Ahmad

Mengulas isu tersebut Ahli Lembaga Pengarah Kesedar Azman Ahmad berkata, penerokaan kawasan hutan simpan untuk aktiviti pertanian perlu mendapat kelulusan kerajaan negeri terlebih dahulu.

Katanya, bagi kes serupa di Kelantan kerajaan negeri boleh memberi kebenaran dengan kaedah pajakan atau sewaan tanah melalui agensi-agensi kerajaan.

“Kerajaan mempunyai mekanisme tertentu bagi memastikan tanah di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) tidak diceroboh serta kelestarian alam sekitar dapat dikekalkan.

“Isu tersebut juga berlaku di Kelantan, namun pekebun perlu berunding dengan kerajaan untuk mendapat kebenaran sama ada diberi secara pajakan atau sewa tanah.

“Kerajaan melalui Jabatan Perhutanan akan mengeluarkan permit untuk memberi kebenaran mengunakan di kawasan HSK,” katanya yang juga Yang Dipertua PAS Gua Musang ketika dihubungi di sini.

Ahad lepas berlaku ketegangan apabila usaha Jabatan Perhutanan Pahang mahu menebang pokok durian Musan King yang ditanam secara haram berdepan dengan halangan pekebun terbabit.

Operasi itu turut anggota polis dan kemudiannya menahan 18 individu yang menceroboh HSK Batu Talam.

Tanaman durian mula dilaksanakan di kawasan itu pada awal 1990-an bermula dengan Rancangan Buku Hijau bagi menggalakkan aktiviti pertanian di tanah terbiar dalam kalangan penduduk tempatan.

Difahamkan selepas program itu mendapat pulangan yang menguntungkan, ada individu menceroboh HSK bagi memperluaskan kebun durian dengan tanaman Musang King.

Azman juga berkata, masalah di Raub mulai muncul setelah persempadanan semula dilakukan di mana tanaman durian diusahakan pekebun didapati termasuk dalam lokasi tanah HSK.

Menurut laporan media operasi menebang ladang durian haram di Hutan Simpan Batu Talam berjalan lancar semalam ekoran kehadiran anggota polis dari Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA). – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -