Misi ke Mesir: Memperkasa hubungan dagang agrikomoditi negara

- Advertisement -

ALHAMDULILLAH saya berpeluang selama empat hari berada di bumi Kaherah, Mesir dalam lawatan kerja rasmi sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi bermula 3 hingga 6 Julai 2021.

Misi utama lawatan ini ialah memperkukuhkan hubungan dagang antara Malaysia dan Mesir khususnya melibatkan AgriKomoditi Malaysia seperti sawit, kayu kayan, getah dan koko sebagai menyambung perbincangan dua hala secara maya antara Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Presiden Republik Mesir, Abdul Fattah al-Sisi pada 17 Jun 2021.

Untuk tahun 2020 sebanyak 155,000 tan sawit dan produk sawit telah dieksport ke Mesir dengan nilai dagangan sebanyak RM777 juta. Getah pula mencatatkan nilai eksport sebanyak RM184 juta, manakala untuk subsektor koko sebanyak RM87 juta telah berjaya dicatatkan.

- Advertisement -

Eksport sawit, getah dan koko mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan melihat pada bilangan penduduk seramai 104 juta orang serta kedudukan geografi strategik Mesir yang strategik iaitu berada pada laluan masuk ke Eropah menerusi Terusan Suez.

Begitu juga Mesir berpotensi untuk menjadi pintu ke negara-negara Afrika Utara kerana Mesir menandatangi perjanjian perdagangan bebas dengan negara-negara tersebut.

Dalam pertemuan saya dengan Menteri Perbekalan dan Perdagangan Dalam Negeri Mesir, Dr Ali El Moselhy, persetujuan dicapai untuk meneroka peluang memperkasakan eksport sawit ke Mesir menerusi memorandum persefahaman antara dua kementerian.

Ia bertujuan melihat keperluan mewujudkan terminal sawit di Zon Ekonomi Terusan Suez (SCZone) bertujuan menjamin bekalan berterusan untuk sawit kepada pemain industri sawit di Mesir.

Juga mengkaji kepentingan perkongsian pintar antara dua kementerian melibatkan teknologi pengeluaran dan strategi pemasaran sawit menerusi pelaburan bersama dalam syarikat berkaitan kerajaan antara dua negara dengan kerjasama swasta dan pemain industri sawit di kedua-dua buah negara.

Manakala dalam pertemuan dengan Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Dr Nevin Gamea, persetujuan dicapai untuk memorandum persefahaman bagi memperkasakan bekalan kayu dari Malaysia untuk perusahaan perkayuan di Bandar Perabot di Dimyat, Mesir khususnya melibatkan kayu getah.

Juga meneroka perkongsian pintar antara dua kementerian melibatkan teknologi getah dimiliki negara seperti teknologi ‘seismic bearing’ yang mampu menyerap gegaran gempa bumi untuk bangunan tinggi, jambatan, lebuh raya dan platform minyak di laut. Begitu juga dengan teknologi tayar Ecoprina yang merupakan teknologi hijau serta teknologi penurapan jalan campuran getah, teknologi ini mampu untuk kurangkan kerosakan jalan raya ketika musim panas.

Dalam mesyurat khas bersama pimpinan Kumpulan Savola diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Samih yang terbang khusus dari Saudi Arabia ke Mesir untuk pertemuan ini, beberapa isu teknikal melibatkan pemasaran sawit ke Mesir dibincangkan secara terperinci ke arah usaha memperluaskan pemasaran sawit di bumi Mesir dan Afrika Utara.

Kumpulan Savola adalah syarikat terbesar milik kerajaan Arab Saudi yang antara bidang utama perniagaannya ialah pemakanan dengan pendapatan tahunan sekitar USD8 bilion.

Kumpulan Savola memiliki anak syarikat yang besar di Mesir iaitu Savola Foods Egypt dengan fokus utama perniagaan ialah dalam bidang pemprosesan dan bekalan makanan.

Menariknya Kumpulan Savola juga bersetuju untuk meneroka peluang pemasaran koko Malaysia untuk pasaran tempatan Mesir dan juga Timur Tengah.

Dalam majlis makan malam saya bersama ahli perniagaan dan pemain industri utama sawit di Mesir yang dihoskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pasifik Interlink, Dr Fuad Hayel, iaitu sebuah syarikat pengeksport sawit berpangkalan di Malaysia, beberapa cadangan pemerkasaan pemasaran sawit dilontarkan oleh pemain industri menerusi ucapan Dr Fuad sendiri dan juga ucapan oleh Pengerusi Majlis Industri Makanan dan Komoditi Mesir Syafie Zakaria.

Saya juga berpeluang mengadakan perbincangan serius bersama pakar kajian sawit, Prof Dr Hanafi Abd Elaziz Hashem dan Dekan Fakulti Pertanian, Universiti al-Azhar Prof Dr Gamal A Abdurrabah ke arah memorandum persefahaman antara Kementerian dan Universiti al-Azhar untuk mengkaji dan meneliti penemuan terkini melibatkan kelebihan sawit terhadap dunia pemakanan, nutrisi dan farmaseutikal.

Prof Dr Hanafi salah seorang pakar pertanian yang banyak membuat kajian berkaitan dengan sawit. Ia satu langkah ke arah kempen yang baik untuk sawit di seluruh dunia khususnya Timur Tengah oleh sebuah universiti terkemuka dunia.

DATO’ DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -