Kit Siang biadab – UMMAH Negeri Sembilan

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) Negeri Sembilan menyifatkan tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang memuat naik tulisan ‘Kerajaan Allah’ gagal, menjelaskan betapa biadabnya kepemimpinan parti itu.

Pengerusinya, Rosmin Adam berkata tulisan veteran DAP itu adalah satu penghinaan ke atas Islam yang merupakan agama Persekutuan.

- Advertisement -

Merujuk perkara itu kata Rosmin, ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana mengembangkan permusuhan dan kebencian antara golongan penduduk yang berlainan di Malaysia.

Tambahnya, ia juga merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Terdahulu, Kit Siang memuat naik tulisan berbaur provokasi dan sindiran terhadap tulisan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Abdul Hadi Awang berhubung istilah ‘kerajaan Allah’ berjudul Pandemik Covid-19 dan Pandemik Politiking.

Veteran DAP itu dalam satu hantaran Facebooknya mempersoalkan, sekiranya kerajaan Allah adalah kerajaan terbaik dalam mendepani pandemik Covid-19, mengapa prestasi keseimbangan indeks ekonomi global atau global economist index normalcy yang ditulis The Economist berada jauh daripada kedudukan beberapa buah negara yang tidak mendakwa mereka sebagai Kerajaan Allah.

Justeru itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Rosmin di Balai Polis Sikamat berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh bapa kepada Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng itu.

“Saya minta pihak polis membuat siasatan ke atasnya,” katanya pada satu kenyataan di laman Facebook miliknya, hari ini. – HARAKAHDAILY 7/7/2021

- Advertisement -