KUALA LUMPUR: Kenyataan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang mengenai ‘kerajaan Allah’ turut mengundang kemarahan Pemuda Umno dan Armada Bersatu di seluruh negara.
Berikutan itu Pergerakan Pemuda Umno bahagian di seluruh Malaysia membuat laporan polis terhadap tindakan biadab Kit Siang yang dianggap menghina agama Islam di Facebooknya.
Ketua Pergerakan Pemuda Umno Malaysia Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Pemuda Umno mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pemimpin DAP itu yang bersikap rasis dan chauvinis sehingga meremeh kesucian Islam.
“Kenyataan biadab tersebut secara tidak langsung mengundang, menghasut dan menyebabkan tidak ada harmoni, kebencian dan prasangka kepada agama Islam di negara ini,” katanya pada kenyataan di laman sosialnya malam tadi.
Baru-baru ini pada hantaran di laman sosialnya Kit Siang menulis ‘Jika pemerintahan Allah adalah bentuk pemerintahan terbaik dalam pandemik Covid-19 mengapa Malaysia terakhir dalam indeks normal global economist kalah dari negara-negara yang tidak ada yang boleh mengaku sebagai ‘pemerintahan Allah’.
Dr Asyraf Wajdi juga berkata, walaupun status asal yang dimuatnaik telah diubah, namun gambar hebahan mengenainya telah tular.
Oleh itu katanya Pergerakan Pemuda Umno mendesak isu tersebut disiasat dan diambil tindakan oleh berkuasa.
“Ia tidak terhad kepada mendakwa di mahkamah, malah tindakan pencegahan agar DAP tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh merosakkan perpaduan negara,” ujarnya.
Tindakan serupa juga diambil Armada Bersatu dengan membuat laporan polis terhadap Kit Siang.
Ketua Penerangan Armada Johor KD Hussin berkata, Armada mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Lim Kit Siang di atas penghinaannya terhadap umat Islam.
“Saya mewakili Ketua Armada Bersatu Negeri Johor Muhd Shamsuddin Paijan serta kepimpinan mendesak tindakan tegas kerajaan,” katanya pada hantaran di media sosialnya.
Armada Bersatu Bahagian Bangi turut membuat laporan polis terhadap Kit Siang di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang semalam berhubung ungkapan ‘Kerajaan Allah’.
Ketuanya Khidir Jamil berkata, Armada Bersatu Bangi memandang serius perkara yang menyentuh sentimen keagamaan oleh mana-mana pihak.
Beliau berharap keharmonian negara akan terus terjaga tanpa membangkitkan atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung hati serta perasan umat Islam di negara ini.
“Di kala negara sedang dilanda ujian pendemik ada baik sekiranya semua pihak mengambil tanggungjawab bersama-sama kerajaan pusat fokus membantu rakyat marhaen yang terjejas teruk.
“Armada Bersatu Bangi berharap agar perkara itu tidak berulang lagi. Rakyat harus bersatu hati memerangi pendemik covid-19 dan bukannya cuba mengambil kesempatan dengan menaguk di air yang keruh,” ujarnya.
Dewan Pemuda PAS Balik Pulau turut membuat laporan polis terhadap pemimpin veteran DAP terbabit Ibu Pejabat Daerah (IPD) Barat Daya, Balik Pulau Pulau Pinang semalam.
Pemuda PAS kawasan pada kenyataannya berkata, tulisan Kit Siang menimbulkan kekeliruan di atas tafsiran salah dan boleh menyebabkan mengganggu keamanan dan keselamatan negara.
“Kami percaya tulisan Lim Kit Siang adalah satu bentuk penghinaan ke atas agama Islam yang merupakan agama Persekutuan.
“Ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 kerana ia mengembangkan permusuhan dan kebencian antara golongan penduduk yang berlainan di Malaysia,” katanya.
Menurutnya Kit Siang juga boleh disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – HARAKAHDAILY 7/7/2021