Pembelaan untuk adik Damia

- Advertisement -

Oleh ABU HADIF

LEDANG:
Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin berharap agar ada pihak yang berkaitan, terutamanya dalam kalangan pimpinan negara yang tampil bagi membantu menyelesaikan masalah tuntutan kecuaian hospital melibatkan Nur Damia Lutfiah Fazli, 12.

Kisah adik Nur Damia yang menghidap saraf otak sejak lahir akibat kecuaian pihak hospital dan kes tuntutan pampasan yang belum diterima kembali tular baru-baru ini di media sosial.

“Kisah adik Nur Damia yang ditularkan oleh ayahnya sendiri, Fazli Subuh melalui media sosial baru-baru ini sangat menyayat hati dan harus diberi perhatian.

- Advertisement -

“Kami sangat bersimpati dengan nasib malang yang dialami oleh adik Damia yang lumpuh anggota badan akibat kemalangan yang berlaku ke atasnya semasa dilahirkan di hospital Besar Kuala Lumpur dua belas tahun lalu,” ujar beliau.

Rusman berkata demikian kepada Harakahdaily ketika hadir menziarahi keluarga Nur Damia yang menetap di Taman Chempaka Bukit Gambir, semalam.

Tambah beliau lagi, berdasarkan maklumat daripada ayah kanak-kanak itu yang juga pesara Tentera Udara Diraja Malaysia, pendakwaan bagi kes kemalangan ini telah pun dibawa ke mahkamah oleh pihak keluarganya bermula 2016.

“Pada Januari 2020 keputusan mahkamah telah memihak kepada Damia di mana pihak kerajaan diperintahkan membayar sejumlah wang sebagai pampasan.

“Namun, apa yang mengecewakan pihak keluarga sehingga terpaksa menularkan (di media sosial) isu ini ialah kerana perjalanan kes ini telah memakan masa yang terlalu lama dan masih belum selesai sehingga hari ini,” kata Rusman lagi.

Kata beliau, berdasarkan maklumat diberi oleh Fazli, wang pampasan itu yang sangat diperlukan untuk membiayai kos penjagaan Damia juga masih tidak diperolehi dengan alasan kes ini telah dibawa ke Mahkamah Rayuan.

“Kami juga menyeru kepada mana-mana pihak sama ada individu, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan lain-lain untuk bersama-sama membantu meringankan bebanan keluarga ini agar penderitaan yang dihadapi keluarga ini segera berakhir,” ujar beliau.

Rusman yang menziarahi keluarga itu turut ditemani seorang personaliti yang popular dengan gelaran Raja Report, Rani Kulup, Pegawai Khas ADUN Gambir, Ayub Bani dan Timbalan Ketua Balai Polis Bukit Gambir.

Pihak yang ingin membantu keluarga adik Damia, boleh menghubungi ayahnya, Fazli di talian 01158765833. – HARAKAHDAILY 6/7/2021

- Advertisement -