Bakul makanan, kerajaan PN berjiwa besar

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat sebagai sebuah kerajaan yang berjiwa besar apabila bertindak memastikan semua Ahli Dewan Negara turut memperoleh peruntukan RM300,000 bagi menjayakan Program Bakul Makanan.

Menurut Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris, menerusi surat bertarikh 2 Julai 2021 di bawah Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (JPM), seramai 64 Ahli Dewan Negara telah dimaklumkan menerima kemudahan peruntukan yang disediakan.

- Advertisement -

Peruntukan itu kata Razali, dilihat tidak mengambilkira penyokong kerajaan, parti pembangkang atau kumpulan serta pertubuhan tertentu yang diwakili.

“Langkah berhemah itu jelas menunjukkan Kerajaan PN berjiwa besar bagi memastikan semua Ahli Dewan Negara dapat menjayakan Program Bakul Makanan secara efektif dan efisien. Kebersamaan kerajaan adalah sangat terpuji dalam perkara ini.

“Di samping itu, kerjasama erat akan dilaksanakan bersama badan bukan kerajaan (NGO) yang bukan berasaskan politik untuk menguruskan penyediaan dan pengedaran bagi Program Bakul Makanan di bawah peruntukan Ahli Dewan Negara sedia ada” ujarnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Justeru itu, beliau mewakili Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan PN di atas inisiatif itu.

Sementara itu, beliau turut mencadangkan konsep Food Bank diperluaskan termasuk melalui sumbangan besar dalam kalangan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), syarikat multinasional, anak-anak syarikat dan agensi di bawah kementerian dan kerajaan negeri serta peneraju industi sektor swasta.

Kata Timbalan Presiden Majlis Senator Malaysia itu, sekarang adalah masa terbaik melaksanakan suatu perkara yang sehabis baik menyumbang perkhidmatan anda kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya.

Pada 28 Jun, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan sejumlah RM300,000 kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengambil kira warna politik mereka. – HARAKAHDAILY 5/7/2021

- Advertisement -