MB kesal pihak burukkan petugas pusat bantuan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor kesal dengan sikap pihak tertentu yang cuba memburukkan dan memusnahkan penat lelah para petugas di pusat bantuan bencana.

Beliau berkata, pihak berkenaan cuba merosakkan dedikasi para petugas yang melaksanakan tanggungjawab.

“Sewaktu ramai yang benar-benar terdesak, ada saja yang berpura-pura di luar jangkaan.

- Advertisement -

“Tetapi ia disebarkan seolah-olah benar dan realiti yang betul-betul terjadi. Walhalnya ia hanyalah setting untuk mencipta kemusnahan,” ujar beliau dalam kenyataan yang dimuatnaik melalui laman sosialnya, semalam

Oleh sebab itu kata Sanusi, mekanisma dan sistem agihan melalui Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) mustahak diambil perhatian.

Katanya, jangan hingga yang betul-betul memerlukan tidak dapat sebaliknya yang berpura-pura pula menyimpan stok keterlaluan dan berlebihan.

Sehari dua kebelakangan ini, tular semula video lama yang diberi ‘nafas baru’ kononnya bantuan PKOB hanya untuk penduduk dikena arahan kuarantin bukannya yang terputus bekalan.

Video tersebut dirakam ketika dua kawasan di Daerah Kubang Pasu, Taman Mahsuri dan Lubuk Kawah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum PKP 3.0 dikuatkuasakan.

“Seingat saya video dibuat sewaktu PKPD dua kawasan di Daerah Kubang Pasu sebelum PKP 3.0 yang dikuatkuasa seluruh negeri dan negara.

“Pada waktu itu memang bakul makanan disediakan untuk penduduk yang dikenakan PKPD sahaja,” tegas beliau.

Sementara pemilik kedai gunting rambut di Taman Bunga Raya, Kubang Pasu dikenali sebagai Raja juga memaklumkan sebelum ini beliau digunakan oleh pihak lain untuk menelefon PKOB berhampiran bertanyakan sumbangan dan tidak mengetahui dirinya dipergunakan atas tujuan memburukkan kerajaan.

Malah Raja dengan bantuan Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Kubang Pasu telah pun membuat video susulan memohon maaf serta memaklumkan kejadian sebenar sedikit masa dahulu.

“Dengan mudahnya orang ramai percaya video itu hari ini, tanpa berfikir dua kali. Orang yang ‘mencipta’ video ini pun turut pecaya juga.

“Terpaksalah masa dibuang untuk memberi penjelasan supaya kepalsuan dapat diserlahkan sebagai palsu,” tambahnya.

Ekoran itu pesan Sanusi kepada orang ramai agar jangan membiarkan keadaan dunia sekarang membinasakan diri sebaliknya perlu berfikir dua hingga tiga kali sebelum mempercayai sesuatu maklumat terutama yang dicipta untuk menjatuhkan orang lain.

“Kepada ratusan rakan yang WhatsApp meminta penjelasan, mungkin ini boleh menjawab persoalan anda,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 4/7/2021

- Advertisement -