Kerajaan terjemah setiap denyut nadi rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) digambarkan sebagai satu usaha kerajaan yang mendengar, meneliti dan menterjemah setiap denyut nadi rakyat yang amat terkesan.

Khususnya mereka yang ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan bergantung sepenuhnya kepada ekonomi harian hasil pergerakan aktiviti sosial tempatan, kata Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI), Raja Shah Erman Raja Arifin.

- Advertisement -

Jelasnya, keadaan itu mungkin berbeza dengan situasi mereka yang bekerja di sektor ekonomi industri yang dibenarkan operasi bagi memastikan rantaian bekalan keperluan rakyat tidak terputus dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Menurut beliau, PEMULIH seolah mirip kepada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dilaksanakan selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 sebelum ini.

“Namun kali ini dilihat strategi serampang dua mata kerana peningkatan kes yang berlaku melebihi 5,000 kes sejak dua bulan yang lalu hingga hari ini, menyebabkan aktiviti sosial dan perniagaan kecil masih tidak dibenarkan dan pada masa yang sama untuk menurunkan jumlah kes berkurangan dari 4,000 sehari.

“Sejak PKP dalam tempoh PPN (Pelan Pemulihan Negara) Fasa 1 ramai rakyat yang mengikat perut untuk kelangsungan hidup sehingga melibatkan kes sakit mental dan tekanan hidup yang agak mendesak sehingga mengakibatkan bunuh diri.

“Alhamdulillah PEMULIH yang disasarkan kepada rakyat secara berfokus setelah rintihan dan memorandum yang dimuatkan dalam media sosial memberi tanggungjawab besar kerajaan hari ini dalam memastikan kelangsungan hidup.

“Bukan sahaja golongan B40, tetapi meliputi semua peringkat termasuk peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam kepelbagaian sektor walaupun terdapat juga rayuan sebahagian kakitangan kerajaan memohon moratarium sekurang-kurangnya 3 bulan untuk pinjaman LPPSA (Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam), turut diambilkira dalam pakej kali ini,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sehubungan itu, MASTI menyeru agar kepimpinan negara terus peka untuk mendengar rintihan dan pandangan rakyat dari masa ke masa dalam meneruskan kelangsungan hidup serta membuat perancangan dan keputusan lebih rasional dalam menentukan fasa kedua dan seterusnya melalui PPN kelak. – HARAKAHDAILY 2/7/2021

- Advertisement -