Ahli MPKP sumbang bakul makanan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUBANG PASU:
Sebanyak 156 bakul makanan disumbang oleh Ahli Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) untuk diagihkan kepada mereka yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

- Advertisement -

Bakul makanan itu diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kubang Pasu melalui pegawai daerah, Muhamad Arof Darus.

Salah seorang Ahli Majlis berkenaan, Ustaz Zulhazmi Osman berkata, bakul makanan itu adalah hasil kutipan wang daripada seluruh Ahli Majlis lantikan politik di daerah itu berjumlah RM2,400 manakala Kelab Kebajikan MPKP pula menyumbang sebanyak RM2,000.

“Oleh itu jumlah keseluruhan kutipan berjumlah RM4,400. Jadi kami gunakan dana itu untuk menyediakan keperluan dapur dan makanan harian untuk 153 penerima di daerah ini,” jelasnya.

Beliau yang juga mewakili semua ahli majlis lantikan politik di daerah ini mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kerjasama MPKP dan Pejabat Daerah Kubang Pasu menjayakan program itu.

“Semoga dengan sumbangan ini dapat menampung keperluan mereka yang terkesan akibat PKP ini selain membantu meringankan beban kerajaan terutama di waktu situasi pandemik ini,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Yang Dipertua PAS kawasan mengharapkan agar usaha sedemikian dapat dilakukan berterusan supaya lebih ramai lagi golongan yang memerlukan dapat dibantu. – HARAKAHDAILY 2/7/2021

- Advertisement -