Anak muda diseru ambil peluang ternak arnab

Punyai potensi tinggi dengan permintaan melebihi bekalan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Anak-anak muda perlu mengambil peluang untuk terlibat dalam sektor pertanian khususnya agromakanan antaranya ternakan arnab yang dilihat mempunyai potensi sangat besar.

Timbalan Menteri II Pertanian dan Industri Makanan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi menyeru demikian selepas melawat projek ternakan arnab pedaging di Tangkak, Johor, kelmarin.

Menurutnya, beliau teruja melihat penternak arnab, Hassan Azhari yang membuat galakan kepada anaknya terlibat dan mengembangkan perusahaan itu di Kampung Parit Medan, di situ.

- Advertisement -

“Menjadikan sektor ini sangat lumayan membuka peluang yang cukup luas dan besar kepada anak-anak muda untuk menceburi dan menjadi sumber kekayaan, sumber pendapatan dan peluang pekerjaan yang boleh dijana sendiri di samping maknanya mencari kerja-kerja lain di dalam perjawatan kerajaan dan sebagainya.

“Jadi kita lihat bagaimana usaha di sini, ayam kampung diternak, arnab diternak. Saya difahamkan juga lembu kemudian projek-projek tanaman seperti pisang dan sebagainya yang boleh menjana pendapatan yang cukup baik kepada pengusaha ataupun tuan-tuan punya tanah ataupun projek tersebut.

Saya difahamkan di seluruh negara sebanyak 33,000 lebih arnab yang, arnab pedaging yang diternak di seluruh negara dan berkembang dengan begitu pesat. Oleh kerana arnab adalah merupakan satu haiwan yang mudah membiak, hebat dia dari segi pembiakan.

“Perbelanjaan permulaan untuk memulakan penternakan arnab juga tidak tinggi dengan nilaian benih baka yang tidak seperti lembu, kambing dan sebagainya. Jadi ini adalah merupakan satu sub sektor penternakan yang mudah dimulakan oleh anak-anak muda,” seru beliau.

Menurut Dato’ Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat, beliau mendapati di seluruh negara permintaan terhadap daging arnab melebihi bekalan, bermakna potensinya besar selain populasi penternak juga masih kecil.

Pun begitu beliau berharap mereka yang mahu menceburi penternakan ini supaya berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPEV) bagi membolehkan pemantauan, bantuan, peruntukan dan seumpamanya.

Hal tersebut katanya, dapat membantu bukan sahaja aspek maklumat tetapi juga mengelakkan masalah-masalah seperti lambakan dan sebagainya termasuk juga penanaman sayuran, buahan dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 1/7/2021

- Advertisement -