Peranan perancangan keluarga di era pandemik COVID-19

Photo used for illustration purposes only.
- Advertisement -

Oleh Dr Nur Adibah Husna binti Aladdin dan Dr Aspalilah Alias

Tanggal 16 Mac 2020, apabila Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pelbagai episod getir, suka dan duka telah diharungi oleh penduduk Malaysia dari segenap lapisan.

Ramai yang hilang punca pendapatan, manakala bagi yang bekerja pula, pelbagai cara dilakukan oleh majikan masing-masing demi menyahut seruan kerajaan. Antaranya adalah dengan bekerja dari rumah atau bekerja dari pejabat dengan pengurangan kakitangan. Disebabkan situasi ini, pasangan suami isteri telah meluangkan lebih banyak masa bersama di rumah.

- Advertisement -

Antara implikasinya adalah wujudnya grup di Facebook seperti ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’, ‘Suami Masak Apa Hari Ini?’, ‘Anak Sepahkan Apa Hari Ni?’ malah grup dekorasi rumah turut meriah dengan gambar perkongsian hasil tangan mereka.

Selain daripada kemeriahan tersebut, negara turut digembar-gemburkan dengan andaian bahawa bakal berlaku peningkatan kadar kelahiran seperti yang berlaku di Maine dan New Hampshire, Amerika Syarikat pada tahun 1998. Dikhabarkan bahawa bandar tersebut telah ditutup beberapa minggu akibat cuaca ribut salji yang teruk sehingga menyebabkan penduduk terperangkap di dalam rumah untuk suatu tempoh yang lama. Impak yang dapat dilihat adalah berlakunya peningkatan kadar kelahiran atau ‘baby Boom’ pada Sembilan bulan berikutnya.

Menurut laporan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) pada 2014, hanya 52.2 peratus wanita di Malaysia mengamalkan kaedah merancang. Sebanyak 34 peratus wanita menggunakan kaedah perancang moden manakala 18 peratus menggunakan kaedah merancang alami.

Kajian yang dijalankan oleh M. Mansor pada tahun 2015, hanya 53.9% peratus wanita di Selangor menggunakan kaedah merancang. Jabatan Statistik Malaysia turut menganggarkan pada tahun 2040, jumlah penduduk Malaysia akan meningkat ke 41.5 juta.

Kadar peningkatan populasi penduduk yang tidak terkawal akan menjurus kepada isu sosial, seperti wujudnya jurang ekonomi yang besar, serta capaian kepada rawatan kesihatan dan peluang belajar yang tidak sekata.

Secara tidak langsung, kualiti sesebuah institusi keluarga akan terjejas, dan memberi kesan negatif terhadap komuniti dan pembangunan sesebuah negara. Oleh sebab itu, isu merancang keluarga ini perlu ditekankan oleh setiap pasangan suami dan isteri lebih-lebih lagi dalam era pandemik Corona Virus Disease 2019 (COVID-19).

Bukan sahaja masalah sosial yang perlu dirisaukan akibat peningkatan populasi yang mendadak, namun masih terdapat banyak faktor lain yang menyebabkan perancangan keluarga perlu dititikberatkan, antaranya ialah:

  1. Mengambil kira kesihatan ibu yang baru sahaja melahirkan anak, di mana mereka memerlukan rehat yang secukupnya, dengan jarak yang sesuai untuk mengandung semula, sebaik-baiknya setelah anak tersebut berusia dua tahun di samping untuk mengelakkan kehamilan di luar jangkaan. Selain daripada itu, jarak kehamilan dua tahun ini juga akan memberi ruang supaya emosi isteri lebih bersedia untuk mengandung dan bersalin.
  2. Mengambil kira golongan ibu yang mempunyai risiko tinggi untuk mengharungi proses mengandung dan melahirkan. Terdapat hampir 10 peratus daripada ibu hamil yang mengidap penyakit diabetes, anggaran 5 peratus mengidap penyakit darah tinggi yang boleh mengakibatkan komplikasi dalam proses kehamilan dan kelahiran. Para doktor pakar menggalakkan mereka yang mempunyai penyakit seperti ini untuk menjarakkan kandungan bagi menjaga kesihatan mereka serta kandungan.
  3. Usia ibu turut memainkan peranan penting dalam merancang bilangan anak. Dari segi perubatan, umur ibu yang mengandung melebihi 35 tahun mempunyai risiko tinggi untuk penyakit diabetes, darah tinggi, dan anak yang mempunyai masalah genetik. Oleh sebab itu juga pihak Kementerian Kesihatan Malaysia amat mengambil berat tentang penjagaan kesihatan sewaktu kehamilan dengan menyediakan perkhidmatan antenatal yang berjadual dan berkesan.
  4. Perancangan keluarga yang efektif akan memberi ruang untuk pasangan suami isteri merancang kewangan yang lebih stabil supaya lebih bersedia untuk menimang cahaya mata yang baru. Ini kerana kos membesarkan anak di Malaysia kini bukan murah dan mudah. Lebih-lebih lagi kita masih mendepani arus pandemik COVID-19 yang belum menunjukkan tanda-tanda untuk berakhir.

Terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan kesedaran dan ilmu berkaitan kaedah merancang keluarga. Rundingan boleh didapati daripada pengamal perubatan yang bertauliah di klinik swasta dan kerajaan, ataupun di klinik-klinik di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Dalam era globalisasi ini, banyak maklumat yang boleh diakses di hujung jari, namun, kita perlu sentiasa berhati-hati dengan setiap maklumat yang diperolehi bagi memastikan kesahihannya menerusi saluran mahupun agensi yang sesuai.

Sebarang persoalan boleh dicatatkan, dan berjumpalah dengan doktor untuk mendapat keterangan lanjut. Doktor akan mencadangkan kaedah perancangan yang paling sesuai untuk setiap pasangan sekiranya mempunyai masalah kesihatan dan risiko tinggi untuk mengandung.

Kaedah merancang keluarga terbahagi kepada cara alami dan cara moden. Antara cara alami ialah dengan cara ‘azal (pancutan luar), suhu badan basal/asas (basal body temperature), kaedah lender mukosa serviks (cervical mucous method), kalendar ovulasi (ovulational calendar), dan ketiadaan haid disebabkan penyusuan secara eksklusif (lactational amenorrhoea).

Manakala cara moden yang terbukti berkesan secara saintifik terdiri daripada hormonal dan bukan hormomal (non-hormonal). Kaedah hormonal yang boleh digunakan termasuklah pil, suntikan dan implan. Manakala kaedah non hormonal adalah alat dalam rahim (intra-uterine contraceptive device) yang lebih dikenali dengan IUCD dan kaedah halangan seperti penggunaan kondom atau topi serviks. Terdapat juga alat dalam rahim yang mempunyai hormon.

Kebanyakan daripada kaedah perancangan keluarga ini boleh didapati di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA) pada kos yang minimum, kecuali kaedah jenis implan yang perlu dibeli terlebih dahulu.

Selain daripada kaedah perancangan keluarga secara sementara, terdapat juga kaedah pemandulan secara kekal yang keberkesanannya sebanyak 99% iaitu ‘bilateral tubal ligation’ untuk wanita dan ‘vasectomy ‘ untuk lelaki. Kedua-dua kaedah yang disebutkan adalah melalui pembedahan yang kecil yang dilakukan bagi menghalang pertemuan di antara benih lelaki dan benih wanita.

Pada sudut pandangan Islam, ulama rata-ratanya membenarkan amalan merancang keluarga selagi ianya tidak bercanggah dengan syarak. Sebagai contoh, kaedah merancang yang melibatkan kemandulan merupakan solusi terakhir dan hanya sekiranya amat perlu dalam keadaan kecemasan, atau risiko yang terlampau tinggi.

Manakala merancang keluarga hanya sekadar menjarakkan untuk suatu tempoh tertentu itu tidaklah salah. Dan jika mengambil kira kemaslahatan juga, ianya dibolehkan selagi mendapatkan persetujuan kedua-dua pasangan.

Dalam pada masa yang sama, isu merancang keluarga ini boleh dikaitkan dengan prinsip Maqasid Syariah dalam Islam. Secara langsung, dua daripada lima prinsip Maqasid Syariah dapat dipenuhi di sini, iaitu hifz an-nas (menjaga nyawa) dan hifz an-nasab (menjaga keturunan). Secara tidak langsung, prinsip Maqasid Syariah yang lain juga iaitu hifz ad-din (menjaga agama), hifz al-‘aql (menjaga akal) dan hifz al-mal (menjaga harta) turut terpelihara.

Tuntasnya, perancangan keluarga bermula di saat ijab dan qabul dilafazkan. Kaedah merancang keluarga adalah sesuai untuk setiap pasangan akan tetapi berbeza berdasarkan tahap kesuburan, masalah kesihatan dan kemampuan.

Selagi amalan merancang keluarga tersebut tidak bercanggah dengan syarak, tidak memudaratkan, serta berdasarkan kaedah yang menepati syariat, ianya harus diamalkan.

Diharapkan agar lebih ramai pasangan suami isteri memberi perhatian terhadap isu ini, dengan mendapatkan khidmat nasihat bersesuaian melalui pengamal perubatan bertauliah yang menepati pilihan masing-masing.

Adalah diingatkan bahawa perancangan keluarga perlulah diimplementasi secara berterusan dan tidak terhad pada pandemik COVID-19 ini sahaja. Hal ini kerana, ianya dapat memberi kesan yang besar terhadap perkembangan penduduk dan pembangunan negara, di samping memelihara prinsip Maqasid Syariah dalam agama. Wallahualam.

Dr Nur Adibah Husna binti Aladdin adalah Pegawai Perubatan Kecemasan HPUPM dan Dr Aspalilah Alias adalah Pensyarah Anatomi di Fakulti Pergigian, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

- Advertisement -