Pemberian moratorium serampang dua mata

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemberian moratorium kepada semua peminjam, termasuk B40, M40, T20 dan usahawan mikro merupakan strategi serampang dua mata daripada kerajaan.

Menurut Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Ts Dr Anuar Shah Bali Mahomed, dengan pemberian moratorium, beban hutang di bahu rakyat dapat diringankan buat sementara.

Manakala, bagi peminjam yang tidak terjejas pendapatan mereka, pemberian moratorium dapat memberi ruang untuk mereka membantu ahli keluarga, jiran dan rakan-rakan selain menggalakkan rakyat berbelanja dengan lebihan kewangan yang ada.

- Advertisement -

“Ini akan membantu ekonomi keluarga di mana, ahli keluarga yang tidak terjejas, diringankan komitmen untuk membantu ahli keluarga yang terjejas.

“Selain itu, mereka yang diringankan komitmen akan membantu merancakkan ekonomi dengan pembelian barang keperluan. Malah, perbelanjaan yang lebih itu diyakini boleh merancakkan semula ekonomi dengan membantu peniaga-peniaga sebenarnya.

“Di sini ada dua kumpuluan, satu kumpulan yang memang sudah tidak ada duit, tidak boleh buat apa, memang kena ambil moratorium.

“Lagi satu kelompok (kumpulan) lagi, mereka sebenarnya tidak berapa terkesan, tetapi disebabkan pemberian moratorium, (sekiranya mereka memohon) mereka ada lebihan duit.

“Jadi apabila ada duit lebihan ini, mereka boleh gunakan untuk beli barang-barang, dan duit itu akan kembali semula kepada peniaga-peniaga yang terjejas ini, dan menyebabkan para peniaga memperoleh keuntungan dan mendapat manfaat secara tidak langsung,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Beliau turut menyarankan peminjam yang memohon moratorium bijak menggunakan lebihan wang selain membantu keluarga, jiran dan rakan terdekat.

Pemohon juga disaran menggunakannya untuk simpanan kecemasan, membeli barang-barang bermanfaat dan penting, serta mengelakkan sebarang pembaziran selain bersedia untuk kehidupan selepas moratorium ditamatkan.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan dengan kerjasama bank akan memberi moratorium kepada semua peminjam termasuk B40, M40, T20 dan usahawan mikro tanpa sebarang syarat dan dokumentasi.

Permohonan akan dibuka pada 7 Julai ini dan peminjam hanya perlu memohon serta menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan.

Sementara itu, mengulas mengenai beberapa bantuan kewangan yang diberikan secara tunai, kata Dr Anuar, langkah itu memberi mesej bahawa kerajaan melihat kepada kesukaran rakyat dengan memfokuskan kepada kelompok miskin tegar.

Jelasnya, ini adalah kali pertama kerajaan memberi fokus bantuan kewangan kepada miskin tegar yang menurutnya, berbeza dengan golongan B40.

“Golongan miskin tegar akan menerima Bantuan Khas Covid-19 sebanyak RM500 pada Ogos, November (RM500) dan Disember (RM300).

“Isi rumah kategori B40, akan menerima RM500 pada Ogos sama seperti golongan miskin tegar dan RM300 pada Disember serta golongan isi rumah M40 sebanyak RM250 pada Ogos.

“Ditambah pula dengan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang disalurkan melalui PEMERKASA Tambahan sebanyak RM500 kepada isi rumah B40 dan RM300 kepada isi rumah M40 yang bakal disalurkan bermula hari ini, iaitu pada Julai.

“Ini bermakna hampir setiap bulan terdapat bantuan kewangan kepada miskin tegar sehingga Disember, kecuali pada Oktober,” ujarnya.

Katanya lagi, bantuan kewangan secara tunai untuk rakyat adalah penting untuk rakyat memenuhi keperluan harian dan makanan setelah pemberian moratorium.

Jelas beliau, rakyat yang terkesan sehingga tidak mempunyai wang di tangan tidak perlu bimbang mengenai sebarang komitmen terhadap bank memandangkan wujudnya pemberian moratorium.

Dalam masa sama, beliau percaya, dengan bantuan wang sedemikian akan memberi jalan untuk rakyat mencukupkan keperluan harian sehingga Disember tahun ini. – HARAKAHDAILY 29/6/2021

- Advertisement -