98 peratus penduduk Pulau Tukang jalani saringan Covid

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Kira-kira 98 peratus penduduk Kampung Pulau Tukang Dollah, Pengkalan Chepa dekat sini menjalani ujian saringan Covid-19.

Ujian berkenaan dilakukan selepas Jabatan Kesihatan mengesan 41 penduduk positif di kampung terbabit Covid-19.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Dun) Chempaka, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood berkata, seramai 855 daripada 866 jumlah penduduk telah membuat ujian saringan.

- Advertisement -

“Selepas ujian saringan itu dibuat didapati lima orang daripada mereka didapati positif Covid-19,” katanya ketika ditemui selepas menyantuni petugas keselamatan yang bertugas di Kampung Pulau Tukang Dollah hari ini.

Kampung berkenaan telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 24 Jun lepas dan dijangka berakhir pada 8 Julai ini.

Berikutan itu empat laluan keluar masuk ke kampung terbabit ditutup sejak pelaksanaan PKPD Khamis lalu.

Ahmad Fathan turut melahirkan rasa syukur apabila mendapat maklumat positif daripada petugas keselamatan yang menjaga kampung berkenaan selepas dikenakan PKPD.

“Mereka memuji penduduk berkenaan yang tidak cuba melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang, contohnya memotong kawat duri dan curi keluar daripada kampung.

“Malah anggota keselamatan memberitahu mendapat kerjasama yang baik dari penduduk sehingga memudahkan tugas mereka,” ujarnya.

Menurut beliau juga pihaknya dengan kerjasama Pusat Khidmat Parlimen Pengkalan Chepa mengagihkan sumbangan kepada 188 keluarga di kampung tersebut.

Katanya, agihan akan dibuat sebanyak empat kali sepanjang tempoh PKPD yang meliputi bekalan makanan kering termasuk beras dan gula atau makanan basah seperti ikan atau ayam. – HARAKAHDAILY 28/6/2021

- Advertisement -