Cubaan seludup minyak di tengah malam

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

PASIR MAS:
Cubaan seorang lelaki memandu kereta berisi muatan minyak masak dipercayai untuk diseludup tidak kesampaian apabila ditahan Pasukan Batalion 7 Gerakan Am (PGA7) yang sedang melakukan rondaan.

Kejadian itu berlaku di Kampung Lanchang Jeram Perdah Rantau Panjang kira-kira jam 12 tengah malam semalam.

- Advertisement -

Pegawai Pemerintah Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7), Superintendan Azhari Nusi berkata, dengan penahanan itu, PGA7 merampas 697 paket minyak masak bernilai kira-kira RM2,788.

Beliau berkata, tangkapan itu dilakukan ketika pihaknya terserempak dengan kereta berkenaan yang ketika itu dalam keadaan mencurigakan.

“Ketika rondaan, pihak polis terserempak dengan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan lalu menahan kereta tersebut.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta anggota polis menjumpai 41 kotak berwarna coklat, di dalamnya mengandungi 697 paket minyak masak,” katanya dalam satu kenyataan media di sini semalam.

Azhari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk siasatan lanjut.

“Melalui tangkapan terbabit, pihak polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Wira Aeroback bernilai RM10,000 dan jumlah rampasan termasuk kereta, adalah sebanyak RM12,788.

“Tahanan dan kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Jeram Perdah untuk laporan dan siasatan lanjut,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/6/2021

- Advertisement -