Nihilisme: Bagaimana Islam mengisi kekosongan jiwa

- Advertisement -

NIHILISME secara mudah fahamnya bermaksud pemikiran yang menganggap dunia ini adalah suatu yang kosong. Ini kerana penganut fahaman ini beranggapan manusia itu tidak tahu apa tujuan hidup, tiada sebarang moral, dan sebagainya.

Fahaman ini sebaris dengan Atheisme (menolak kewujudan ghaib) yang berjangkit daripada pemikiran Friedrich Nietzsche (1844-1900). Beliau sendiri terpengaruh dengan Arthur Schopenhauer (1788-1860) yang memperkenalkan konsep ‘Nothingness’.

- Advertisement -

Nothingness’ ini adalah konsep bahawa kehidupan ini tiada apa-apa tujuan. Nietzsche sendiri terkenal dengan ungkapan seperti ‘God Is Dead’ yang bermaksud penolakan terhadap agama. Bahkan pemikiran beliau turut menyumbang kepada kesuburan Hedonisme.

Pemikiran yang berteraskan kepada Sekularisme ini, membawa manusia semakin menjauh daripada kekuatan spiritual, bahkan merosakkan lagi nilai-nilai moral. Menjadikan masyarakat itu ‘suka hati nak buat apa’ kerana akhirat itu tiada mengikut mereka.

Tiada siapa yang mampu mengemukakan nilai moral yang setepatnya. Orang Jepun mungkin menganggap Shintoisme adalah satu moral yang sesuai untuk mereka. Tetapi orang di Amerika pula menganggap Liberalisme itu moral yang terbaik.

Jadinya, beliau meletakkan bahawa tiada moral yang sebenar-benarnya, tiada baik dan tiada buruk. Pemikiran ini mempengaruhi tokoh-tokoh yang dikenali memperjuangkan konsep Relativisme, iaitu kebenaran itu ada pelbagai, dan berbeza-beza, atau tiada kebenaran yang mutlak.

Nihilisme bermula dengan akar menolak unsur agama, apatah lagi spiritual, kemudian berjangkit kepada tiadanya maksud moral yang sebenar dan sejagat. Baik dan buruk itu berbeza-beza mengikut tempat.

Nietzsche turut mengembangkan konsep ‘socially constructed’, iaitu tiada satu idea pun yang dapat diterima sebagai murni atau keji secara sejagat melainkan dibentuk sendiri oleh masyarakat setempat.

Islam adalah sistem berfikir, perundangan, spiritual dan sebagainya. Jiwa manusia sentiasa tertanya-tanya mengenai hakikat sesuatu, sehingga mencetuskan perbincangan dan wacana sejak zaman Socrates, hinggalah ke hari ini.

Pertanyaan-pertanyaan seperti tujuan hidup, siapa pencipta, bagaimana penciptaan alam dan sebagainya yang termasuk dalam skop perbincangan kosmologi dan metafizik rata-rata telah dibincangkan sejak dahulu lagi sehingga lahirnya istilah epistemologi, ontologi, logik dan aksiologi.

Islam memandu manusia berfikir. Pertanyaan-pertanyaan itu dijawab oleh Allah S.W.T dengan jelas di dalam al-Quran:

1. Manusia tertanya-tanya mengenai asal-usul mereka, Allah S.W.T menyebut dalam Surah an Nisa ayat 1.

2. Manusia tertanya-tanya mengenai siapa cipta alam ini Allah S.W.T menyebut dalam Surah al Isra’ ayat 99.

3. Manusia tertanya-tanya mengenai apa tujuan hidup, Allah S.W.T menyebut dalam Surah az Zariyat ayat 56.

4. Manusia tertanya-tanya mengenai apa yang terjadi selepas kehidupan, Allah S.W.T menyebut dalam Surah at Taghabun 9-10.

Pemikiran yang memisahkan antara spiritual atau metafizik daripada dunia material ternyata membarahkan kekosongan jiwa. Jawapan-jawapan yang tersedia di dalam al-Quran dapat ‘mengenyangkan’ jiwa yang sedang kosong, yang tertanya-tanya mengenai hidupnya.

Bukan sekadar itu, al-Quran melontarkan hujah secara realistik mengenai jawapan-jawapan itu. Apabila ideologi Barat seperti Nihilisme menganggap agama itu tidak realistik, dan Marxisme pula menganggap agama itu sekadar khayalan dan candu.

Apabila manusia tertanya-tanya mengenai Tuhan, Allah S.W.T buktikan kekuasaannya dengan penciptaan alam yang jelas boleh dilihat oleh manusia. Lihat Surah az Zariat ayat 20 dan 21.

Apabila manusia tertanya-tanya mengenai kebangkitan selepas mati, Allah S.W.T buktikan dengan kekuasaanNya mencipta manusia daripada tiada kepada ada. Lihat Surah ar Rum ayat 11.

Apabila manusia tertanya-tanya mengenai tujuan hidup, Allah S.W.T buktikan dengan sistem dan perundangan yang tersedia di dalam al-Quran untuk diteliti dan difahami. Sistem ekonomi, sosial, perundangan dan lain-lain.

MUHAMMAD MUJAHID IR MOHAMMAD FADZIL – HARAKAHDAILY 27/6/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000953077134/posts/5649062401802140/

- Advertisement -