Kerajaan transformasi Pusat Internet Komuniti

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

MACHANG:
Kerajaan melancar Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia, di bawah agenda MyDIGITAL bagi memastikan pendigitalan dapat direalisasikan di seluruh negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Dato’ Sri Mustapa Mohamed berkata, salah satu tumpuan utama adalah meningkatkan infrastruktur digital menerusi JENDELA.

- Advertisement -

Katanya, pandemik Covid-19 menyedarkan semua pihak tentang kepentingan pendigitalan.

Menurutnya, sebagai contoh anak-anak memerlukan akses internet dan peranti digital untuk mengikuti kelas secara dalam talian atau Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

“Kita membaca beberapa kisah di media bagaimana pelajar di kawasan luar bandar berhadapan dengan kesukaran untuk mengikuti kelas.

“Untuk itu masalah ini perlu ditangani segera bagi membolehkan para pelajar mengikuti pembelajaran dari rumah termasuk kakitangan awam yang membuat kerja dari rumah,” ujarnya.

Mustapa memberitahu, pembinaan infrastruktur digital merupakan tulang belakang dalam membangunkan sebuah ekosistem digital yang mampan.

Beliau menjelaskan, kerajaan pada tahun ini memperuntukkan lebih RM700 juta untuk meningkatkan infrastruktur di Kelantan dalam tempoh 2020 hingga 2022.

“Ia melibatkan kerja menaik taraf 1,232 menara telekomunikasi, membina 85 menara telekomunikasi baharu dan meluaskan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi ke 54,904 premis.

“Sebanyak 18 menara telah siap dibina pada April dan Mei 2021 iaitu sebuah di Jeli, Tanah Merah (1), Gua Musang (2), Machang (4), Bachok (2), Pasir Putih (1) dan Pasir Mas (7),”ujarnya.

Tambahnya, kesemua menara itu berada di kawasan luar bandar sesuai dengan dasar untuk merapatkan jurang digital antara bandar dan desa.

Tambahnya, apabila semua projek tersebut siap dilaksanakan, status liputan 4G akan mencapai 96.3 peratus pada tahun 2022.

Jelasnya lagi, sehingga kini terdapat 1,245 struktur menara selular di seluruh Kelantan yang meliputi 93.15 peratus untuk perkhidmatan 4G, 95.98 peratus (3G) dan 97.14 peratus (2G).

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan ke menara telekomunikasi di Kampung Kubang Tebit, Machang di sini hari ini.

Turut hadir pada lawatan itu anggota Exco kerajaan negeri, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ahli Parlimen Machang Dato’ Ahmad Jazlan Yaakub, Adun Pulai Chondong, Ustaz Azhar Salleh, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Kelantan, Abdul Mubin Mohd Zain.

Sebelum itu Abdul Mubin menyampaikan taklimat mewakili wakil-wakil dari rangkaian Maxis, Celcom, Digi dan UMobile.

Mustapa berkata, kerajaan akan mentransformasikan Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara termasuk 70 pusat di Kelantan sebagai pusat sehenti untuk Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) menguasai dunia digital.

“Pusat ini akan menjadi pusat sehenti bagi penduduk setempat untuk mendapatkan perkhidmatan digital serta khidmat nasihat.

“PIK di seluruh negeri ini mempunyai lebih 65,000 ahli berdaftar dan hampir 240,000 orang telah menyertai program latihan yang disediakan,” katanya.

Beliau juga memberitahu, PIK telah melahirkan ramai usahawan berjaya, seperti Abdul Syafizi Sallah iaitu Pengusaha Al Fath Café.

Ujarnya, Syafiz menerima latihan keusahawan serta bantuan promosi daripada PIK Kampung Kalai. Pemuda berusia 26 tahun itu berjaya meningkatkan jualan makanan baratnya selepas memaksimumkan pemasaran digital.

Beliau menambah, latihan dan bantuan yang diberikan oleh PIK banyak membantu usahawan kecil menambah pendapatan melalui platform e-dagang dan media sosial. – HARAKAHDAILY 26/6/2021

- Advertisement -