Jururawat dan wad COVID-19: Satu pengalaman

Photo used for illustration purposes only.
- Advertisement -

Oleh Muhammad Farid Abdull Rahim dan Dr Muhamad Rafiqi Hehsan

Jururawat, satu kerjaya yang mulia dan merupakan tulang belakang bagi sesebuah institusi hospital. Pandemik COVID-19 meletakkan petugas kesihatan khususnya jururawat di barisan hadapan dan terdedah dengan pelbagai risiko serius semasa merawat pesakit Coronavirus.

Pelbagai bentuk pengalaman psikologi, tekanan dalam bentuk fizikal serta mental semasa bertugas dan cabaran tanggungjawab semasa menjalankan tugas menghadapi pesakit COVID-19 perlu dihargai. Ianya ibarat pepatah “berat mata memandang, berat lagi bahu memikul”.

- Advertisement -

Pengalaman sebagai jururawat yang bertugas di wad Isolasi Medikal di salah sebuah hospital rujukan merupakan pengalaman yang bercampur baur. Wad Isolasi Medikal yang sudah menghampiri tempoh dua tahun ini merupakan wad yang menempatkan pesakit yang telah disahkan positif COVID-19. Wad ini menempatkan semua pesakit COVID-19 yang stabil atau yang memerlukan rawatan rapi. Sepanjang penubuhannya, wad ini telah menempatkan lebih kurang 300 pesakit yang silih berganti. Perasaan takut dan tertekan pasti terlintas di fikiran semasa menjaga pesakit COVID-19.

Pengalaman psikologi sebagai seorang jururawat di wad COVID-19 pastinya memberi kesan kepada diri. Pada zaman teknologi sekarang, masyarakat telah maklum tentang bahayanya penularan penyakit ini dan kemungkinan jururawat dijangkiti lebih tinggi kerana hubungan rapat dengan pesakit semasa rawatan.

Selain itu, sebagai seorang jururawat, petugas barisan hadapan, dan manusia biasa, pasti tidak terlepas daripada tekanan psikologi. COVID-19 menyebabkan jururawat jauh daripada keluarga sehingga mengalami banyak kegelisahan akan lunturnya hubungan sesama ahli keluarga.

Tambahan pula, jururawat yang tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan serius pesakit secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan negatif. Akibatnya, jururawat ini mengalami tekanan mental yang besar bukan sahaja kepada diri mereka sendiri, malah kepada ahli keluarga.

Satu kajian kualitatif di HuBei, China menunjukkan bahawa kesan terlalu banyak perasaan negatif ini bukan hanya mempengaruhi kesejahteraan fizikal dan psikologi, tetapi juga turut mempengaruhi kualiti kerja jururawat. Kesan kegelisahan dan tekanan ini ditakuti akan mempengaruhi pertimbangan diri terhadap pesakit. Namun sebagai petugas kesihatan, jururawat terus bersikap dinamis atas pertimbangan humanistik dengan menghilangkan kesan perasaan negatif, menolak gangguan perasaan, dan cuba untuk mengurangkan tekanan mental.

Pengalaman daripada sudut fizikal turut dirasai oleh jururawat. Semua pihak sedia maklum bahawa dalam menjaga pesakit COVID-19, jururawat terpaksa memakai personal protective equipment (PPE) yang sangat tidak selesa dan panas. Pemakaian ini penting bagi mengelak sebarang transminasi penyakit sesama perawat dan pesakit. Pemakaian PPE dalam tempoh yang lama sangat memberi tekanan fizikal dan menjadi cabaran terutamanya semasa umat Islam menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Satu kajian di China juga menunjukkan tempoh serta beban kerja yang berat menyebabkan pekerja kesihatan berisiko mengalami penurunan imuniti. Penggunaan PPE seperti kacamata, penutup muka dan badan untuk waktu yang lama akan menyebabkan tekanan pada kulit wajah, kekurangan oksigen, terlalu panas, dan kegelisahan. Terdapat juga beberapa orang petugas yang pitam dan hampir pengsan semasa bertugas merawat pesakit COVID-19.

Sebagai seorang jururawat, mereka akan berusaha mengurangkan kesakitan pesakit, melayani pesakit dalam semua keadaan tanpa jaminan keselamatan kepada diri mereka sendiri. Bahkan, jangkitan silang COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan di wad COVID-19 tetap berlaku sehingga menyebabkan sebahagian petugas terpaksa menjalani kuarantin kendiri.

Ini telah menyebabkan kekurangan petugas kesihatan yang ada dan bebanan tugas individu yang bertambah. Kakitangan jururawat yang tidak mencukupi dan jumlah pesakit yang terlalu tinggi menyebabkan pertambahan nisbah rawatan penjagaan setiap pesakit dan jururawat.

Satu kajian fenomenologi deskriptif di Iran menunjukkan jangka masa kerja yang panjang kesan COVID-19 mempunyai kesan negatif terhadap jururawat. Jururawat juga mengalami kegelisahan mereka untuk menangani penderitaan serta kesukaran pesakit yang menghadapi COVID-19, dengan dibatasi oleh wad isolasi dan merasa diri terasing. Walaupun terdapat tekanan yang pelbagai, para jururawat tetap mengekalkan kegembiraan dan inspirasi mereka untuk terus bekerja.

Selain itu, pengalaman menghadapi pesakit COVID-19 merupakan satu cabaran bagi jururawat. Coronavirus adalah penyakit yang merebak dengan cepat tanpa mengira usia dan jantina. Ada pesakit yang datang dan sembuh serta tidak kurang juga yang berakhir dengan kematian.

Kematian yang dilihat di depan mata merupakan satu situasi yang sangat menyedihkan bukan sahaja kepada ahli keluarga pesakit mahupun jururawat yang menjaga dan merawat. Walaupun menghadapi kesukaran yang berbeza, jururawat tetap menunjukkan kekuatan dan kelenturan yang luar biasa. Mereka menggunakan pelbagai cara bagi menyokong emosi sesama mereka dan mengubah kemampuan untuk mengurangkan tekanan.

Mereka menyedari bahawa mereka harus kuat dan tetap bersatu dengan tanggungjawab untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa. Satu kajian kualitatif hospital in Wuhan, China menunjukkan sikap kerja positif dan kompetensi jururawat secara langsung mempengaruhi sifat pertimbangan dan tahap pencapaian pesakit semasa krisis.

Kesimpulannya, tugas jururawat di wad COVID-19 mempunyai banyak pengalaman pahit dan manis. Semasa merawat pesakit dengan Coronavirus, jururawat turut mengalami kegelisahan, tekanan, bimbang, takut dijangkiti dan menyebabkan transminasi penyakit kepada orang lain. Jururawat juga mengalami keletihan kerana beban kerja yang banyak, pesakit yang bertambah dengan jumlah kakitangan yang terhad.

Namun, tugas jururawat semasa pandemik COVID-19 sangat penting kerana mereka ditugaskan menangani pesakit di barisan hadapan. Jururawat bertanggungjawab terhadap kesejahteraan pesakit dengan menonjolkan sikap profesional dalam memberikan rawatan.

Jururawat berharap dengan pemberian vaksin dan pengumuman pihak kerajaan berkaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat menurunkan kadar jangkitan Covid-19 dengan drastik. Semua lapisan masyarakat juga diseru untuk memenuhi norma baharu dan mengikut ketetapan atau SOP yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan. Semoga kita sama-sama berjaya menumpaskan virus COVID-19 daripada negara Malaysia ini.

Abu Musa RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah bersabda: “Seorang Mukmin terhadap mukmin yang lain adalah seperti satu bangunan yang mana bahagian yang satu menguatkan bahagian yang lain”. Baginda terus menyusupkan antara jari-jarinya. (HR al-Bukhari)

Muhammad Farid Bin Abdull Rahim adalah Jururawat U29 di Wad Isolasi Medikal, HUSM Kelantan dan Dr Muhamad Rafiqi Hehsan Pegawai Perubatan Sarjana HUSM Kelantan dan Pensyarah Perubatan Pelatih (Anaesthesiology), Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan, USIM.

- Advertisement -