Kerajaan konsisten tolak promosi LGBT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS berharap task force yang diwujudkan kerajaan bergerak dengan tegas dan berhemah bagi menguruskan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad PAS berkata, komunti LGBT jika diteliti merupakan komuniti yang kian membarah dalam negara.

Katanya, sejak beberapa tahun lalu pelbagai tuntutan yang dilakukan bagi tujuan mengiktiraf kewujudan mereka.

- Advertisement -

“Pada tahun 2018, JAKIM pernah mendedahkan bahawa populasi komuniti gay direkodkan seramai 310,000 iaitu meningkat hampir 100 peratus berbanding 2013 seramai 173,000.

“Manakala golongan transgender meningkat kepada 30,000 individu berbanding 10,000 pada tahun 1998,” katanya pada kenyataan di sini hari ini. 

Semalam, Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata tindakan tegas secara bersepadu dalam kadar segera dilaksanakan bagi menangani isu penghinaan agama secara umum dan promosi gaya hidup LGBT khususnya di media sosial.

Katanya, antara agensi yang terlibat ialah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Jabatan Peguam Negara dan Polis Diraja Malaysia.

Menurutnya, Task Force Menangani Isu LGBT itu diwujudkan selari dengan Pelan Tindakan Sosial Islam yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah JAKIM.

Tambahnya, tujuan mesyuarat khas semalam ialah untuk membincangkan secara khusus berkenaan penguatkuasaan undang-undang terhadap perbuatan menghina agama melalui promosi gaya hidup LGBT di media sosial.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, bulan Jun dianggap sebagai Gay Pride Month di mana gerakan LGBT di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, sedang mempromosi gaya hidup mereka secara terbuka sama ada melalui perarakan atau media massa termasuk media sosial.

“Justeru, kita mendapati ada pihak tertentu yang memuat naik status dan grafik yang menghina agama Islam di media sosial tertentu dalam usaha mereka mempromosi gaya hidup LGBT,” ujarnya.

Kamaruzaman berkata, Kerajaan Persekutuan konsisten menolak sebarang langkah mempromosikan hak asasi golongan LGBT.

“Melalui Menteri Agama, Dato’ Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri dengan tegasnya sebelum ini menyatakan Malaysia sebagai sebuah negara Islam menolak dasar Amerika Syarikat yang ingin mempromosikan LGBT ke seluruh dunia,” ujarnya.

Selain itu, JAKIM mengadakan program-program khidmat masyarakat bagi menyantuni golongan LGBT supaya kembali kepada fitrah.

Beliau berkata, antaranya aktiviti mukhayyam yang menyediakan kelas pengajian al-Quran dan usrah sebagai kaedah bimbingan agama kepada mereka.

Kata beliau, pergerakan komuniti LGBT mesti dipandang serius dengan tindakan yang tegas dan berhemah.

“Asasnya kita dapat lihat kesan perbuatan luar tabii ini sangat besar. Kadar kes HIV yang melibatkan golongan LGBT meningkat dengan mendadak setiap tahun.

“Sebanyak 1697 kes direkodkan pada tahun 2017 berbanding 63 kes pada tahun 2000. Rekod menunjukkan jangkitan HIV sebahagian besarnya berpunca daripada golongan heterosekual iaitu sebanyak 42 peratus.

“Manakala golongan homoseksual dan biseksual sebanyak 36 peratus sebagai penyumbang kedua jangkitan HIV,” katanya. 

Kata beliau juga PAS tidak mahu berulang kembali sejarah hitam 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memegang tampuk pentadbiran negara golongan LGBT semakin berani bergerak.

Menurutnya golongan itu membiak kerana PH memberikan seluas-luasnya kebebasan golongan LBGT bergerak atas dasar perjuangan hak asasi.

Oleh itu beliau berharap kerjasama seluruh rakyat Malaysia bagi menangani golongan LGBT di negara ini. – HARAKAHDAILY 25/6/2021

- Advertisement -