Bekas johan tilawah antarabangsa masih sihat

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU:
Baru-baru ini tular di media sosial berita kematian bekas johan Tilawah al Quran Peringkat Antarbangsa, Dato’ Faridah Mat Saman, 73, namun apa yang berlaku qariah lain yang meninggal dunia.

Faridah atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Kak Dah’ memberitahu, bukan dia yang meninggal dunia sebaliknya Sapinah Mamat, yang juga merupakan johan qariah peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Advertisement

Katanya, allahyarham Sapinah merupakan anak muridnya yang turut belajar taranum dengannya sebelum ini.

“Allahyarham juga pernah menyandang johan qariah sama ada peringkat kebangsaan atau antarabangsa,” ujarnya melalui rakaman video yang dimuat turun di facebook semalam.

Anak kelahiran Temerloh Pahang itu juga berkata, berikutan kematiannya yang tular di media sosial, beliau tidak putus-putus menerima panggilan telefon untuk mendapat pengesahan.

“Alhamdulillah Kak Dah dalam keadaan baik, masih sihat, cuma beberapa hari lalu orang tertukar antara Kak Dah dengan Hajah Sapinah Mamat.

“Sebenarnya yang meninggal dunia pada hari Sabtu lalu Hajah Sapinah Mamat,” ujarnya.

Pada penghujung rakaman video itu Kak Dah memperdengarkan membaca al Quran surah Al-Qari’ah secara bertaranum. – HARAKAHDAILY 24/6/2021