Penduduk minta FELDA kekal bina padang bola

- Advertisement -

KUALA KRAU: FELDA Wilayah Jengka diminta supaya mengekalkan cadangan pembinaan padang bola dan rekreasi yang diperuntukkan di Bandar Jengka dan tidak menukarnya kepada naik taraf padang bola kompleks sukan di Maran.

Suara gesaan dan bantahan penduduk itu dinyatakan melalui satu surat cadangan yang disampaikan melalui ADUN Jengka, Ustaz Shahril Azman Abdul Halim kepada Pengarah FELDA Wilayah Jengka di pejabat agensi itu, kelmarin.

- Advertisement -

Menyaksikan serahan tersebut adalah Exco Pertubuhan Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Muhamad Zahir Mat Yunos dan Timbalan Pengarah FELDA Wilayah Tengah, Sarimah Sudin.

Penduduk minta kekalkan pembinaan padang bola dan rekreasi 

“Sejak tahun 2011 apabila pengambilan tapak padang bola dijadikan Stadium Tun Abdul Razak maka sepatutnya digantikan dengan tapak yang lain, namun setelah 10 tahun ia masih belum terlaksana. 

“Oleh sebab itu kita mendengar suara rakyat dengan menghantar surat cadangan ini kerana sudah cukup lama rakyat menanti pembinaan padang bola dan rekreasi ini,” ujar Ustaz Shahril.

Selain itu, beliau dan Muhamad Zahir turut mengemukakan beberapa isu lain antaranya berkenaan status hutang peneroka, status rumah generasi kedua FELDA, isu kekurangan tenaga buruh dan program vaksinasi.

Pihak FELDA Wilayah Jengka telah menukar untuk peruntukan asal bagi pembinaan padang bola itu kepada penanaman rumput sintetik di kompleks sukan tersebut. – HARAKAHDAILY 23/6/2021

- Advertisement -