Cadangan tubuh pusat kumpul hasil pertanian diteliti

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

TUMPAT:
Kerajaan Kelantan bersetuju meneliti cadangan penubuhan pusat pengumpulan hasil pertanian di kawasan tanah tinggi Lojing, Gua Musang.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, cadangan itu sebagai langkah pengurusan yang lebih teratur bagi menangani masalah lambakan sayur.

- Advertisement -

Katanya, ia juga sebagai menangani isu berulang berkaitan pembuangan hasil pertanian di kawasan Lojing.

Bagaimanapun, menurutnya langkah penyediaan kemudahan itu perlu diteliti untuk dimanfaatkan oleh Persatuan Pengusaha Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan ke kawasan PKPD Kutan Tengah serta menyampaikan sumbangan keperluan harian, dekat sini semalam. Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II yang juga Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

“Cadangan untuk mewujudkan pusat pengumpulan hasil pertanian itu akan dilihat dari segi pelaksanaannya termasuk pemilihan lokasi yang sesuai dan sebagainya,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini, pusat pengumpulan adalah di Kampung Raja, Cameron Highlands, Pahang.

Tambahnya, kebetulan pusat berkenaan berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) menyebabkan lambakan berlaku.

Adun Pasir Pekan itu seterusnya berkata, isu pembaziran 150 tan sayur setiap hari oleh penanam sayur di Lojing akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri Kelantan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengatasi kerugian.

Jelasnya, keadaan bergantung pandangan pihak Pejabat Kesihatan Negeri kerana Covid-19 dan lokasi PKPD masih berjalan di sana.

“Perkara ini akan diselesaikan melalui MKN atau Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.

Terdahulu beliau menyampaikan 560 pek barangan makanan basah termasuk ayam dan ikan kepada penduduk di kawasan PKPD Kampung Kutan Tengah. – HARAKAHDAILY 21/6/2021

- Advertisement -