Tiga perseorangan wanita negara ke separuh akhir Spanish International

S Kisona (Foto daripada Facebook Badminton Association of Malaysia - BAM)

KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan penguasaan dalam acara perseorangan wanita kejohanan badminton Spanish International 2021 selepas tiga wakil negara mara ke pusingan separuh akhir dengan bergaya pada aksi di La Nucia, Sepanyol, hari ini.

Advertisement

Tiga wakil negara itu adalah pemenang pingat emas Sukan SEA 2019 dan pilihan keempat kejohanan S. Kisona, bekas juara dunia Goh Jin Wei serta Eoon Qi Xuan yang tidak berdepan masalah mengatasi lawan masing-masing di suku akhir, demikian menurut https://www.tournamentsoftware.com.

Kisona cemerlang melepasi cabaran apabila menundukkan pemain tuan rumah Beatriz Corrales 21-15, 21-14 dan dijadual membuat perhitungan ke final menentang wakil Perancis Yaelle Hoyaux.

Jin Wei dan Qi Xuan turut tidak menerima tentangan sengit melangkah ke pusingan separuh akhir sekali gus bakal berentap sesama mereka bagi memburut slot ke final.

Di pusingan suku akhir, Jin Wei menundukkan wakil Switzerland Jenjira Stadelmann 21-15, 21-12 manakala Qi Xuan mencatat kemenangan selesa 21-10, 21-12 ke atas Ania Setien dari Sepanyol.

Pada masa sama, pasangan Tee Kai Wung-Teoh Mei Xing turut mara ke separuh akhir beregu campuran selepas menewaskan Victor Martin-Haidee Ojeda dari Sepanyol 21-17, 21-17 dan bakal bertemu gandingan Rusia Rodion Kargaev-Viktoriia Vorobeva.

Kecemerlangan itu diteruskan beregu lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang mengejutkan pilihan ketiga dari Austria Philip Birker-Dominik Stipsits 21-18, 21-11 untuk bertemu pasangan England Matthew Clare-Ethan Van Leeuwen di separuh akhir.

Namun, nasib berbeza menimpa satu lagi pasangan beregu lelaki negara Loo Bing Kun-Lwi Sheng Hao yang gagal mara ke separuh akhir selepas tewas di tangan wakil Perancis Lucas Corvee-Ronan Labar 12-21, 16-21.

Dalam pada itu, cabaran negara dalam acara beregu wanita berakhir di suku akhir selepas gandingan Teoh Mei Xiang-Yap Ling yang turun selaku pilihan kedua tewas kepada pasangan bukan pilihan dari England Jessica Hopton-Jessica Pugh 16-21, 21-15, 15-21.

Terdahulu, wakil perseorangan lelaki negara Misbun Ramdan Misbun turut terkandas seawal pusingan kedua apabila gagal menyaingi kehebatan pilihan ketiga dari Sepanyol Pablo Abian 21-13, 21-10. – BERNAMA