Penghulu naik turun rumah penduduk daftar vaksinasi

- Advertisement -

SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR

MACHANG: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Temangan mengambil pendekatan turun naik rumah penduduk untuk membantu pendaftaran vaksinasi.

Adunnya, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, usaha gigih 20 penghulu di 20 mukim di Dun berkenaan menyebabkan peratusan pendaftaran melonjak tinggi.

Katanya, sebelum ini Dun Temangan antara yang paling rendah pendaftaran vaksin seperti dilaporkan Pejabat Kesihatan Machang, namun sekarang begitu membanggakan.

- Advertisement -

“Apabila gerakan secara agresif dibuat untuk mendaftar vaksin dikendali penghulu dan penggawa menyebabkan jumlah yang mendaftar melonjak,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat vaksinasi di Dewan Dato’ Haji Hassan Pondok Hidayah semalam.

Seramai 250 penduduk dari Dun berkenaan hadir pada program vaksinasi tersebut yang dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Machang.

“Kehadiran hari ini juga begitu memberangsangkan, bagi mereka yang daftar hampir tiga minggu lalu hari ini datang untuk ambik suntikan.

“Setiap hari anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) datang untuk mengambil pendaftaran baru dari penghulu dan penggawa,” ujarnya.

Menurutnya juga warga emas yang sebelum ini begitu rendah pendaftarannya, kini mereka antara yang lebih awal mendapat suntikan.

Kata beliau Dun Temangan merupakan Dun pertama di Parlimen Machang yang menjadi outreach pusat vaksinasi.

Beliau yang juga anggota Exco kerajaan turut melahirkan rasa syukur memandangkan rakyat Kelantan semakin sedar betapa pentingnya vaksinasi.

Beliau tidak menafikan penyebaran elemen negetif berkaitan vaksin sebelum ini sedikit sebanyak memberi kesan kepada masyarakat.

“Mereka agak terkesan dengan penyebaran kelompok vaksinasi yang disebar kumpulan antivaksin.

“Pada peringkat awal melalui kajian dibuat daripada 100 penduduk, 30 orang daripadanya tidak bersetuju dengan vaksin,” ujarnya.

Bagaimanapun tambahnya, perkembangan semasa menyebabkan mereka sedar betapa pentingnya vaksin.

Selain itu kegigihan sukarelawan menjejaki dari rumah ke rumah untuk memujuk mereka mendaftar.

Dr Fadzli juga berkata, sebanyak empat kenderaan disediakan bagi memudahkan orang ramai menerima suntikan vaksin.

Kata beliau antaranya van Pasti Machang dan Kemuning di samping kenderaan Pusat Khidmat Dun dan dari Pondok Hidayah. – HARAKAHDAILY 18/6/2021

- Advertisement -