Isteri kayuh basikal cari rezeki keluarga

Oleh SARINA ISMAIL

KUALA KEDAH:
Penderitaan keluarga pesakit kanser di Kampung Tengah, Kuala Kedah turut mendapat perhatian Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Halim Bakar, 54 dahulunya mencari rezeki sebagai nelayan terpaksa akur dengan takdir Ilahi apabila disahkan mengidap kanser limfoma pada 29 Mac lalu.

Tanggungjawab menyara keluarga kini terletak di bahu isterinya Zurina Md Zin yang hanya bekerja mengambil upah membeli dan menghantar barangan untuk penduduk kampung.

Advertisement

“Pendapatan tak tentu, kadang-kadang bolehlah dapat upah RM10 sehari, kadang-kadang RM5,” katanya ketika ditemui.

Setiap hari Zurina gigih melaksanakan kerja rutinnya walau pun hanya berbasikal.

Tinggal bersama keluarga itu selain dua orang anaknya yang berumur lapan dan 11 tahun, ibu mertua Zurina, Fatimah Md Isa, 75, juga tinggal bersama mereka.

“Saya tidak pandai menunggang motosikal dan lesen pun tak ada,” kata Zurina.

Menteri Besar mengetahui kesukaran hidup keluarga berkenaan, apabila tersiarnya kesusahan hidup keluarga ini dalam sebuah akhbar baru-baru ini.

Hari ini beliau berkunjung ke rumah Zurina untuk melihat sendiri nasib yang menimpa keluarga malang itu.

Pendapatan Zurina sebagai pengambil upah membeli barangan keperluan jiran-jiran sememangnya tidak mencukupi untuk perbelanjaan harian dan membiayai kos rawatan suaminya.

“Setiap bulan saya memerlukan RM500 untuk membeli beg stoma suami saya. Setiap hari perlu ditukar. Suami juga perlu minum susu khas yang berharga antara RM85 hingga RM100 setin,” katanya.

Lantai tingkat atas rumah keluarga terbabit juga begitu usang, sudah reput.

“Insya-Allah, pejabat Menteri Besar akan menyediakan sedikit sumbangan untuk membaiki lantai dan dinding rumah ini,” kata Sanusi yang juga Adun Jeneri.

Beliau turut menyumbang wang tunai untuk rawatan suami dan perbelanjaan harian Zurina sekeluarga.

Sementara itu orang ramai yang ingin membantu keluarga terbabit boleh menyumbang melalui nombor akaun 0210841100003903 (BSN): Zurina Md Zain. – HARAKAHDAILY 17/6/2021