‘Pasar awam kekal daif, gila nak kambus laut sahaja’

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: PAS Pulau Pinang menuntut penjelasan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung keadaan Pasar Awam Teluk Kumbar yang tidak dinaiktaraf walaupun tapaknya sudah tersedia.

Pesuruhjayanya, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff berkata, tapak pembinaan untuk menaiktaraf pasar awam itu sudah tersedia sejak saudara Iszuree Ibrahim masih menjadi Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) lagi, yang kini bertukar menjadi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

- Advertisement -

“Hanya ada tapak sahaja, pembinaannya belum tahu bila. Iszuree lah yang membawa cadangan tersebut semasa PAS bersama dalam Pakatan Rakyat dahulu lagi.

“Nampak sangat Kerajaan Negeri menganaktirikan kawasan Teluk Kumbar yang berada dalam kawasan Balik Pulau.

“Lihatlah Pasar Awam Teluk Kumbar. Kawasan Parlimen lainnya maju-maju belaka.

“Mungkin ini kawasan komuniti masyarakat melayu kot… sebab itulah dibiarkan,” sindirnya di dalam Facebooknya, pada Rabu.

Tambah Ustaz Fauzi, Teluk kumbar dan kampung-kampung di sekitarnya sudah sekian lama tidak dipedulikan kerajaan DAP Pulau Pinang.

Bahkan, banyak kemudahan-kemudahan lain juga tiada seperti Pejabat Pos, Balai Bomba, kemudahan bank atau mesin ATM dan stesen minyak juga tiada di kawasan itu.

“Hendak ambil duit, kena pergi ke Bayan Baru atau ke Pekan Balik Pulau. Kerajaan negeri hanya tergila-gila nak kambus laut sahaja.

“Mungkin nak hambat orang melayu dahulu kot, kerana yang paling terkesan dalam projek tersebut ialah orang Melayu.

“Adakah pasar awam Teluk Kumbar akan dibina setelah komuniti masyarakat disana berjaya dikeluarkan?” soalnya. – HARAKAHDAILY 11/6/2021

- Advertisement -