SPM 2020: Tahniah, perjalanan masih panjang

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU: Bantuan kerajaan dalam sektor pendidikan tidak terjejas meskipun negeri sedang menghadapi cabaran pandemik Covid-19.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memberi komitmen akan terus membantu anak-anak Terengganu bagi mendapat pendidikan yang terbaik.

- Advertisement -

Katanya, bantuan bagi pendidikan rakyat Terengganu ini tidak akan terjejas meskipun dalam keadaan pandemik Covid-19.

“Kita (kerajaan) akan bantu anak-anak Terengganu untuk mendapat pendidikan terbaiklah. Insya’Allah, meskipun dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, tidak akan terjejas, jika ada bantuan untuk pendidikan rakyat Terengganu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika melawat keluarga mangsa kebakaran rumah pasangan warga emas di Kampung Losong Haji Su, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Kuala Terengganu, hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada para pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang cemerlang keputusannya.

Katanya, kepada para pelajar yang tidak cemerlang pula usah berputus asa kerana perjalanan masih panjang selepas ini.

Menurut Dr Samsuri, perkara biasa ramai yang keputusan SPM tidak seberapa tetapi cemerlang dan berjaya dalam kehidupannya.

“Saya ucapkan tahniah kepada (mereka) yang cemerlang dan yang tidak cemerlang, selain daripada itu…jangan putus asa, panjang lagi perjalanan ini.

“Biasa sahaja ada orang (keputusan) SPM dia tidak seberapa tetapi selepas daripada itu, dia akan cemerlang dan mampu mencapai kejayaan dalam kehidupan dia. Jadi, jangan putus asa kepada anak-anak kita,” ujar nasihatnya.

Berikut rekod baharu keputusan peperiksaan SPM bagi negeri Terengganu dari tahun 2016 hingga 2020 iaitu, peratusan mendapat semua A tahun 2016 adalah 1.67 peratus, 2017 (1.50 peratus), 2018 (1.58 peratus), 2019 (1.71 peratus) dan tahun 2020 2.06 peratus.

Peratusan layak mendapat sijil SPM pula, tahun 2016 sebanyak 86.9 peratus, 2017 (88.5 peratus), 2018 (90.04 peratus), 2019 (90.98 peratus) dan tahun 2020, 92.94 peratus.

Manakala, bagi yang lulus semua mata pelajaran (MP) iaitu tahun 2016 sebanyak 56.50 peratus, 2017 (55.40 peratus), 2018 (55.24 peratus), 2019 (61.21 peratus dan 2020 adalah 62.36 peratus.

Gred Purata Nasional (GPN) tahun 2016 sebanyak 5.02, 2017 (4.90), 2018 (4.90), 2019 (4.69) dan tahun 2020 adalah 4.55 mata.

Hari ini, calon SPM 2020 boleh mendapatkan keputusan peperiksaan masing-masing secara dalam talian di portal myresult1.moe.gov.my atau myresult2.moe.gov.my. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -