Beri keutamaan jemaah lengkap 2 dos vaksin ke masjid

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mencadangkan kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memberi keutamaan hanya jemaah yang sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 ke masjid.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr Izani Husin berkata, cadangan itu diambil kira kerana risiko golongan berkenaan mendapat jangkitan Covid-19 begitu  rendah berbanding mereka yang belum mendapat vaksin.

- Advertisement -

“Saya amat berharap MAIK dapat mempertimbangkan cadangan tersebut apabila ia dikemukakan nanti,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Kompleks Kota Darulnaim  semalam.

Pada 18 Mei lepas MAIK membenarkan solat fardu dan solat Jumaat di masjid negeri, bandar, jajahan, mukim, surau dan musalla di seluruh negeri.

Pelaksanaan solat fardu dan solat Jumaat di masjid negeri, bandar dan jajahan seluruh negeri Kelantan dibenarkan dengan 50 jemaah sahaja.

Bagaimanapun bagi masjid mukim kategori ‘A’, masjid mukim, surau dan musalla di seluruh Kelantan hanya dibenarkan empat kakitangan sahaja.

Dr Izani juga berkata, kerajaan negeri turut berharap supaya jumlah jemaah yang sudah melengkapkan dos mereka tidak dihadkan sebagaimana sebelum ini.

Bagaimanapun kata beliau aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan membawa sejadah perlu diamalkan.

“Setakat ini kita belum mengemukakan cadangan itu secara rasmi kepada MAIK, namun usaha ke arah itu akan dilakukan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/6/2021

- Advertisement -