Kelantan larang wakil rakyat anjur korban mega

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi kerajan negeri melarang wakil-wakil rakyat di negeri itu mengadakan program ibadat korban mega bagi mengekang penularan Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, kerajaan bimbang penularan wabak itu lebih tinggi berbanding berbanding sambutan Aidilfitri.

Menurutnya, apabila program ibadat korban mega diadakan tentunya berlaku jumlah kehadiran yang ramai.

- Advertisement -

“Bukan setakat tukang sembelih atau tujuh orang yang mengambil bahagian dalam ibadat korban, tetapi ahli keluarga yang menunggu untuk mengambil daging juga ramai.

“Kerana itu keputusan dibuat hari ini supaya aktiviti korban besar-besaran yang membabitkan wakil-wakil rakyat dilarang sama sekali,” ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan rakyat Kelantan supaya kekal patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang diarah kerajaan.

Kata beliau walaupun kes harian Covid-19 di Kelantan agak turun berbanding sebelum ini, namun ia bukan alasan untuk tidak mematuhi SOP.

“Kita ada kes aktif Covid-19 dalam dua minggu ini sebanyak 6,971 orang. Penurunan kes semalam juga masih lagi membimbangkan.

“Kerana kecuaian sedikit bila-bila masa kes harian Covid-19 akan meningkat,” kata beliau.

Beliau bagaimanapun memuji rakyat Kelantan yang patuh terhadap SOP ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang. – HARAKAHDAILY 9/6/2021

- Advertisement -